MOHAMMAD Rosdan didakwa memiliki barangan penerberbitan berkaitan pengganas. FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Gerik: Anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik hari ini atas pertuduhan memiliki barangan penerbitan yang mempunyai kaitan pengganas pada bulan lalu.

Prebet Mohammad Rosdan Mohammad Khir, 24, yang bertugas sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan perruduhan, Mohammad Rosdan didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Gerik pada jam 10.20 pagi 19 Ogos lalu.

Pertuduhan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faridza Hamdan di hadapan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian mengaku bersalah, namun A Akhiruddin memaklumkan tidak boleh menjatuhkan hukuman kerana pihak pendakwaan memohon kes terbabit dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tertakluk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

A Akhiruddin kemudian menetapkan 13 Oktober ini bagi sebutan semula tarikh pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin dan akan ditempatkan di Penjara Taiping, dekat sini sementara waktu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 1:59 PM