Selama ini SS memang terpegun menyaksikan lakonan seorang pelakon wanita yang sering membawakan watak ibu. Apatah lagi luarannya dia dilihat memiliki sifat keibuan yang tinggi.

Bagilah apa saja watak sama ada sebagai ibu di kampung atau bandar, dia boleh memberikan yang terbaik sehingga SS terpaku di depan TV apabila drama lakonannya ditayangkan.

Bagaimanapun, SS terkejut juga apabila mendengar khabar kurang enak yang disampaikan seorang rakan mengenai perangai sebenar pelakon ini kerana ia seakan-akan bertentangan dengan apa yang dilihat.

Namun, sudah namanya manusia, tentulah mempunyai kelemahan sendiri dan SS percaya tidak mustahil ia ada kebenaran.

Menurutnya, disebabkan terlalu sibuk dengan aktiviti penggambaran, pelakon ini mengupah seorang pembantu peribadi bagi menguruskan jadual penggambaran dan segala aktiviti yang berkaitan.

Awalnya semua berjalan lancar di mana dia membayar gaji seperti dipersetujui kedua-dua mereka. Boleh dikatakan tiada masalah berlaku.

Namun, lama-kelamaan masalah mula timbul apabila dia seakan-akan liat bayar gaji kepada pembantunya itu. Kalau bayar pun berdikit-dikit sehingga membuatkan pembantunya itu kecewa.

Iyalah, apa motif dia buat pembayaran begitu sedangkan perjanjian mereka secara profesional. Kalau nak dikatakan dia tiada tawaran berlakon, tak juga kerana jadualnya sentiasa padat.

SS pelik juga kenapa sampai begitu sekali jadinya. Bayangkan dalam keadaan sekarang di mana segala urusan memerlukan wang, pelakon ini boleh bertindak sedemikian rupa pula terhadap pembantunya.

Kalau dia boleh bising jika lambat dapat bayaran berlakon, begitulah juga apa yang dialami oleh pembantunya.

SS: Langsaikan urusan hutang piutang terlebih dulu setiap kali dapat gaji.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:01 AM