Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaksanakan strategi mempelbagaikan pelaburannya demi melindungi simpanan ahli tatkala kemerosotan nilai mata wang serta keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, setakat ini, strategi KWSP mempelbagaikan aset globalnya di beberapa sektor dan pasaran yang berlainan membantu pertumbuhan dananya.

“KWSP sentiasa meneroka pasaran pelaburan tempatan serta melabur secara aktif untuk jangka masa panjang dalam industri dan syarikat yang bersesuaian.

“Sejak kebelakangan ini, KWSP sentiasa menggalakkan rakan niaga global untuk terus melabur bersama kami di Malaysia termasuk kerjasama dengan pemaju lojistik bertaraf dunia seperti Goodman Group dari Australia serta pelaburan bersama beberapa dana persaraan global,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pelaburan dalam negara terus menjadi teras utama pelaburan KWSP dan sebagai dana persaraan, KWSP mengamalkan pendekatan diversifikasi berhemah selaras dengan Alokasi Aset Strategik KWSP.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah rangsangan ekonomi yang dilakukan Perdana Menteri bagi menstabilkan pasaran kewangan dan menyokong aktiviti perniagaan adalah sesuatu yang positif bagi menghadapi situasi ekonomi mencabar.

Malah, kumpulan itu yakin, ekonomi Malaysia mampu mencatatkan 5.5 peratus pertumbuhan seperti yang diunjurkan kerajaan dalam situasi ketika ini.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan yang dilakukan Perdana Menteri dapat membantu perniagaan di Malaysia dalam masa ekonomi yang mencabar.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah proaktif yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak semalam untuk memperkukuh ekonomi adalah langkah yang menepati sasaran.

“Pada suatu tahap secara menyeluruh, langkah ini mencerminkan kedudukan ekonomi semasa dan hasrat untuk mengekalkan tahap pengukuhan fiskal,” katanya.

Beliau berkata, ia sesungguhnya langkah yang menuju arah yang betul dan pengurangan duti import sangat bertepatan memandangkan ia langkah yang wajar membolehkan perniagaan mengurangkan kos import serta mengekalkan margin keuntungan yang munasabah.

“Ini jelas terutama dalam kes industri automotif dengan sebahagian input diperoleh daripada pasaran luar negara. Selain itu, peruntukan tambahan untuk industri pelancongan sebanyak RM80 juta akan membolehkan industri berkenaan memanfaatkan ringgit yang lemah untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 6:46 AM