ASKAR yang setia kepada kerajaan dalam buangan Yaman berkumpul di Marib sebelum meneruskan serangan ke atas pemberontak Houthi di wilayah itu, semalam.

Safer (Yaman) : Tentera yang setia kepada kerajaan dalam buangan Yaman semalam meneruskan kemaraan mereka menyerang pemberontak Houthi, hari kedua kempen besar-besaran untuk menawan semula Sanaa, setahun selepas ia dikuasai kumpulan militan Syiah itu.

Serangan tertumpu di Marib, wilayah yang kaya dengan minyak di timur Sanaa.

“Matlamat kami ialah memutuskan laluan bekalan bantuan kepada Houthi di Sanaa,” kata seorang pegawai.

Serangan itu ditingkatkan selepas Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi menarik diri daripada menyertai rundingan damai yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan alasan Houthi perlu berundur dari kawasan yang ditawannya.

Dari pangkalan mereka di Al-Aber di wilayah Hadramawt, tentera kerajaan bergerak ke empat kubu utama Houthi dan sekutunya di barat laut Marib, laluan yang menuju ke Sanaa.

Tentera negara Teluk yang diketuai Arab Saudi juga dilaporkan menyertai serangan darat itu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan askarnya mengambil bahagian dalam operasi terbaru itu dan mengumumkan kematian seorang tenteranya.

“Askar kami melancarkan operasi ketenteraan di Marib dan mencapai kejayaan dan memaksa pengunduran pemberontak Houthi. Ia sebahagian operasi yang dilancarkan pakatan Arab dan tentera kerajaan Yaman,” kata seorang pegawai UAE.

Sementara itu, Arab Saudi mengumumkan lima askarnya terbunuh di sempadan negara itu dengan Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:01 AM