Kapal nelayan Malaysia yang karam. FOTO Abd Rahman Adam
Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

Santubong: Empat rakyat Malaysia selamat, manakala tiga lagi hilang selepas kapal nelayan dinaiki karam di perairan Indonesia, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Dato, Lundu, pada 6.45 petang, Jumaat lalu.

kapal berkenaan karam selepas dipercayai mengalami kebocoran di lambung kanan bot, sekali gus mengakibatkan tiga nelayan terbabit masih hilang sehingga kini, manakala empat lagi nelayan berjaya diselamatkan Bot Ronda Polis Air (POLAIR) Indonesia.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim, Ismaili Bujang Pit, berkata kapal berkenaan dipercayai masuk secara haram ke kawasan perairan Indonesia sejauh enam batu nautika sebelum dikejar bot ronda POLAIR Antasena 7006.

"Menyedari kehadiran bot ronda Indonesia, bot terbabit bertindak melarikan diri dan dikejar pihak berkuasa negara jiran kira-kira sejam sebelum bot nelayan itu karam kerana mengalami kebocoran di lambung kanan bot.

"Bagaimanapun, pihak APMM masih belum dapat mengesahkan dakwaan bot berkenaan dilanggar bot ronda Indonesia sehingga mengakibatkan ia karam di perairan Indonesia," katanya dalam sidang media, di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), di sini, sebentar tadi.

Tiga nelayan yang masih hilang adalah Ahmad Tarmizi Kipli,35; Awang Izam Abdullah, 23 dan Jamil Saberan, 47, kesemua berasal dari Beladin, Pusa.

Empat nelayan yang selamat kini ditahan di pangkalan POLAIR Indonesia, Pontianak, Kalimantan Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 4:47 PM