Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Siti A'isyah Sukaimi
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kerajaan hari ini memperkenalkan beberapa langkah proaktif sebagai inisiatif awal jangka pendek dan jangka sederhana bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi namun, pada masa sama menegaskan tidak berhasrat memperkenalkan kawalan modal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan, kerajaan menggesa Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta swasta tempatan menzahirkan keuntungan daripada pelaburan mereka di luar negara untuk dilaburkan di dalam negeri dalam projek yang mempunyai nilai pengganda yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengaktifkan semula ValueCap dengan dana sebanyak RM20 bilion kerana melihat entiti berkenaan mampu menyokong saham di bawah nilai pasaran serta memberi pulangan tinggi kepada pemegang sahamnya.

"Kerajaan turut memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di mana RM2 bilion tambahan diberikan kepada Skim Jaminan Modal Kerja; pengecualian duti import ke atas 90 baris tarif terdiri daripada alat ganti; bahan guna habis dan peralatan penyelidikan yang tidak dikeluarkan dalam negara sehingga ekonomi global pulih.

"Pada masa sama, PKS juga boleh memohon untuk menstruktur dan menjadualkan semula pinjaman perniagaan daripada institusi pembiaya atau melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) di Bank Negara Malaysia sekiranya perlu," katanya pada sidang media khas mengumumkan langkah-langkah pro-aktif ekonomi di sini, hari ini.

Katanya, bagi merancakkan pelaburan domestik dan asing di Malaysia, Dana Pelaburan Domestik (DISF) akan diteruskan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Bagi menggalakkan sektor pelancongan pula, Najib berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta diberikan bagi memperhebat aktiviti promosi pelancongan dipasaran terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 1:59 PM