PELARIAN Syria dan Afghanistan dilihat di atas dan sekitar bot getah mereka yang bocor kira-kira 100 meter sebelum tiba di Pulau Lesbos, Greece, semalam.

Athens: Sepuluh orang, termasuk seorang kanak-kanak mati lemas apabila sebuah bot membawa 100 pendatang karam di luar pantai Greece, semalam.

Dalam pada itu, Athens dengan tegas mempertahankan cara ia menangani krisis pendatang yang melanda negara itu.

Perdana Menteri Vassiliki Thanou mengecam kritikan terhadap Greece yang menjadi barisan hadapan dalam menghadapi kebanjiran pendatang yang cuba menjejaki Eropah.

“Greece cuba mematuhi perjanjian Eropah dan antarabangsa dan pada masa sama memberi tumpuan kepada isu kemanusiaan dalam menghadapi krisis pendatang,” katanya ketika melawat Lesbos, pulau yang dibanjiri pendatang dan pelarian yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan.

Sementara itu, pengawal pantai berkata, 10 orang mati lemas apabila bot mereka karam di luar pantai Pulau Farmakonisi di Laut Aegean sementara 68 lagi dapat diselamatkan.

Seramai 29 penumpang berjaya berenang ke pantai pulau itu.

Pasukan itu juga masih mencari empat kanak-kanak lain selepas bot yang mereka naiki karam di luar pantai Samos, sebuah lagi pulau Greece yang tidak jauh dari pantai Turki, Sabtu lalu.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa berkata, 430 pendatang dan pelarian menyeberang Laut Mediterranean untuk ke Eropah sepanjang tahun ini dengan 2,748 mati atau hilang dalam pelayaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 6:30 AM