PEMAIN TNB, Muhammad Azammi Adabi (kiri) cuba melepasi asakan pemain Maybank, Amirullah Zainol (kanan).

Kuala Lumpur: Maybank mara ke separuh akhir Piala TNB apabila menang 3-2 (agregat 5-3) ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Maybank berada di depan pada minit ke-14 hasil pukulan sudut penalti Kazamirul Nasruddin namun TNB berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi Shahril Saabah juga melalui pukulan sudut penalti.

Ketua pasukan Maybank, Hafifihafiz Hafiz menambah gol kedua pada minit ke-42 menerusi gol padang dan Kazamirul menambah gol peribadi minit ke-50 melalui pukulan sudut penalti.

TNB merapatkan kedudukan dengan menjaringkan gol kedua melalui pukulan sudut penalti yang disumbangkan Muhamad Ramadan Rosli pada minit ke-52.

Menanti mereka pada separuh akhir adalah juara liga, Terengganu Hockey Team (THT) yang mendapat bye.

Turut mara ke separuh akhir Sapura yang berjaya mencatat kemenangan dengan agregat 5-3 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Mereka tumpas 2-3 pada aksi suku akhir kedua semalam namun kemenangan selesa 3-0 pada suku akhir pertama Jumaat lalu berjaya menyelamatkan pasukan bimbingan Tai Beng Hai.

Sapura mendahului menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Imran seawal minit kelima sebelum UniKL bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang Muhammad Azwar Abdul Rahman seminit kemudian.

Penyerang Sapura, Faridzul Afiq Mohd menjaringkan gol kedua sebelum tamat babak pertama dan UniKL memperoleh gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Richard Sykes pada minit ke-43.

UniKL berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi satu serangan balas pantas yang dimanfaatkan oleh Haziq Samsul pada hujung suku masa ketiga.

Sapura akan berdepan naib juara Piala TNB musim lalu, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang mendapat bye, pada aksi separuh akhir pertama esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:31 AM