RADHA menunjukkan beg Deuter palsu (kanan) dan beg Deuter tulen (kiri).

Aktiviti membabitkan kegiatan lasak atau kembara semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda di negara ini. Ia boleh dilihat di laman sosial apabila banyak kumpulan ini mula muncul terutama membabitkan aktiviti pendakian, berbasikal dan mengembara sama ada solo atau berkumpulan.

Apabila melakukan aktiviti seperti ini, ia sebenarnya membabitkan rantaian perniagaan secara langsung kepada pengguna yang mula mencari peralatan sesuai untuk mempersiapkan diri dengan aktiviti yang dirancang.

Antara yang sering menjadi perhatian pengguna membeli barangan untuk aktiviti ini ialah beg, kasut, pakaian dan aksesori lain yang bersesuaian dengan jenis aktiviti yang bakal dilakukan.

Melihat kepada situasi ini, ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Hafiz Ithnin dengan Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan untuk mengupas industri berkenaan.

Bagaimana anda melihat prestasi industri barangan kembara di Malaysia ketika ini?

Aktiviti ini di Malaysia sememangnya semakin berkembang dan mendapat sambutan walaupun situasi ekonomi semasa berdepan cabaran.

Namun, pada tahun ini terutama pada suku ketiga kita mendapati sedikit kemerosotan jualan dalam industri sekitar 20 hingga 30 peratus berikutan kejatuhan nilai ringgit serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ini kerana kebanyakan barangan lasak yang dijual di Malaysia diimport terutama jenama popular yang mendapat perhatian pengguna di Malaysia antaranya Deuter iaitu antara jenama yang diedarkan UFL untuk pasaran tempatan.

Kita jangkakan momentum jualan akan kembali stabil pada suku keempat pada tahun ini bersandarkan kemungkinan pengguna dapat membiasakan perbelanjaan dengan situasi pasaran semasa.

Mengenai produk barangan yang diimport, sebagai pemain industri jualan dalam industri ini, adakah anda melihat untuk mengeluarkan produk sendiri memandangkan permintaan pasaran itu ada?

Sememangnya permintaan barangan itu ada tetapi UFL yang mempunyai lesen untuk mengedarkan lebih 30 jenama asing melihat saiz pasaran di Malaysia masih kecil dan pengguna lebih berminat membeli produk import.

Ini kerana jenama import bagi aktiviti ini sudah lama dikenali dan mempunyai pengikut mereka sendiri secara global tidak kira sama ada beg, jam tangan, basikal, pakaian atau peralatan keselamatan.

Bagaimana dengan nilai pasaran produk kembara di Malaysia?

Saya jangkakan saiz pasaran bagi produk ini sekitar RM100 juta setahun dan ia mampu meningkat pada masa depan memandangkan ketika ini ramai rakyat Malaysia menjalankan aktiviti riadah termasuk aktiviti luar.

Jika anda melihat acara larian sering diadakan setiap bulan dan ramai juga rakyat Malaysia membabitkan diri dengan aktiviti pendakian sama ada di dalam atau luar negara.

Perkara seperti ini sememangnya banyak mendorong peningkatan pasaran industri yang akhirnya keuntungan daripada jualan itu sedikit sebanyak akan kembali kepada masyarakat.

Apa yang dikatakan keuntungan kembali kepada masyarakat?

Di dalam acara sukan ada banyak penajaan dan tajaan itu adalah kos yang dikeluarkan oleh pemain industri sukan untuk menyokong aktiviti berkenaan yang pada masa sama ia dapat memperluaskan lagi penjenamaan atau pemasaran kepada pengguna.

Bagi UFL, kami turut terbabit dengan pelbagai program menyokong aktiviti sukan luar antaranya Harian Metro Mountain Bike GP dan acara pendakian Everest oleh rakyat Malaysia.

Apakah cabaran di dalam industri ini?

Cabaran paling besar ialah produk tiruan yang memberi kesan langsung kepada jualan semua pemain industri barangan lasak. Kami yang memegang lesen pengedaran Deuter di Malaysia mendapati ia berlaku sejak lima tahun lalu dan semakin membimbangkan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Misalnya, dalam setahun perolehan bagi Deuter sekitar RM10 juta dan kami mendapati RM1 juta adalah kerugian daripada jualan produk palsu jenama ini yang semakin mudah didapati di pasaran tempatan.

Perkara yang membimbangkan adalah pengguna sendiri terutama mereka yang tidak dapat membezakan antara produk tiruan dan asli, seterusnya akan memberi kesan kepada mereka ketika menggunakan barang berkenaan.

Contohnya, pendaki baru yang menggunakan beg seperti Deuter palsu akan menerima kesan tidak selesa ketika memikul untuk jangka masa lama dan kualiti juga seperti mudah koyak akan menyusahkan mereka ketika melakukan aktiviti.

Beg yang kami pasarkan mempunyai spesifikasi tertentu seperti rangka sokongan belakang yang dikhaskan untuk aktiviti tertentu. Sekiranya barangan itu palsu, ia pasti tidak mempunyai ciri berkenaan.

Bagi mengekang perkara ini, apakah langkah yang dilakukan oleh UFL?

Untuk mengekang isu ini sememangnya sukar kerana pasaran barangan tiruan semakin meningkat. Oleh itu, pendidikan kepada pengguna saja dapat membantu meningkatkan jualan.

Bagi UFL, kami kini mengadakan kempen melekatkan pelekat ‘Be Genuine’ pada produk beg kami bagi membolehkan orang ramai membezakan ketulenan terutama di butik.

Selain itu, orang ramai boleh membawa beg Deuter yang palsu untuk membeli beg kami yang asli dengan potongan harga 30 peratus sehingga hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:04 AM