FIRMINO (kanan) tangkas mengekang pergerakan lawan.

Roberto Firmino pernah meramalkan bahawa dia pasti akan bermain dalam Liga Perdana Inggeris satu hari nanti.

Jangkaan itu timbul bertahun-tahun sebelum Liverpool berjaya memikat pemain Brazil itu dan Firmino membawa bakat samba yang dimiliki secara semula jadi itu selepas mempersembahkan aksi di kelab Jerman, Hoffenheim.

Penyerang itu meledakkan 47 gol dalam 151 aksi liga dan piala sepanjang empat setengah musim bersama bekas majikannya itu.

Prestasi cemerlangnya di pentas Bundesliga membolehkan Firmino beraksi bersama skuad senior sebelum menempah tiket ke Merseyside.

Namun, sebelum Firmino dibeli Hoffenheim, dia mengaku pernah membayangkan bahawa satu hari nanti dirinya akan berpindah ke England.

“Ia memang aneh tetapi saya masih ingat sebelum berpindah ke Hoffenheim, saya bermimpi dapat bermain di England,” katanya.

“Pada ketika itu, ia bukan satu pilihan, kerana saya tidak ditawarkan peluang. Beberapa bulan kebelakangan ini, baru saya menerima tawaran dan segera memutuskan ia tawaran terbaik buat saya.

“Sebagai pemain bola sepak, saya sentiasa mahukan lebih daripada itu. Saya menikmati setiap detik berada di Jerman tetapi tidak menang apa-apa.

“Jadi langkah berikutnya, saya menyertai kelab yang boleh bersaing merebut trofi dan sebab itulah saya datang ke sini.

“Saya mahu berjuang mendapatkan gelaran dan beraksi dalam Liga Juara-Juara. Jadi perpindahan ke sini adalah impian yang menjadi nyata.”

Firmino membuat empat penampilan bersama Reds setakat ini dan hampir menjaringkan gol pertama apabila percubaan jarak jauhnya terkena palang sewaktu pasukannya tewas kepada West Ham United di laman sendiri dua minggu lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu masih gigih meningkatkan kecergasannya sejak kembali ke latihan pra musim selepas beraksi pada Copa America bersama Brazil.

Sesuatu yang menarik mengenai pemain itu, dia mengamalkan beberapa rutin tertentu sebelum perlawanan yang diharapkan dapat membawa tuah kepadanya serta pasukan.

“Orang Brazil mempercayai perkara tahyul, terutamanya pemain bola sepak,” jelas Firmino.

“Begitu juga dengan saya, saya sentiasa melangkah masuk ke padang dengan kaki kanan.

“Sesuatu yang biasa di negara saya, biarpun anda lebih kuat menggunakan kaki kiri, ia dianggap tuah bila anda masuk ke padang dengan kaki kanan. Saya tidak tahu apa sebabnya.

“Saya juga melakukan perbuatan lain sebelum perlawanan. Saya berdoa dan mendengar muzik dalam perjalanan ke stadium. saya juga berdoa sebelum sepak mula.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:08 AM