Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Ramli Hussin
am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Ahli keluarga jemaah haji yang dilaporkan hilang dalam kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah, berharap supaya warga emas itu ditemui dengan selamat.

Anak ketiganya, Che Halimah Che Muda, 47, berharap ibunya, Munah Jusoh, 73, itu ditemui segera kerana kesemua ahli keluarga bimbangkan keselamatannya.

Katanya, dia sekeluarga dimaklumkan kehilangan ibunya oleh bapanya, Che Muda Che Tahir, 76, yang membuat panggilan telefon, pada 11.30 malam semalam.

"Ketika itu ayah memaklumkan kepada saya bahawa ibu yang keluar pada 3.30 petang (waktu Arab Saudi) dengan menaiki kereta bersama beberapa rakannya untuk menunaikan solat Asar.

"Ayah menyuruh ibu pergi dahulu kerana dia ingin berehat di bilik dan akan menyusul kemudian.

“Namun, sebaik ayah mahu keluar ke masjid tiba-tiba angin berserta ribut kuat menyebabkan ayah membatalkan hasratnya itu.

"Ayah terus menunggu ibu di bilik, namun sehingga 11 malam, ibu saya tidak balik sebelum ayah menghubungi kami untuk memaklumkan kehilangannya dan membuat laporan kepada Tabung Haji," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kechik, Cherang Ruku, di sini, semalam.

Che Halimah berkata, kebimbangan mereka itu semakin bertambah apabila mengetahui kejadian kren tumbang yang menyebabkan ratusan nyawa terkorban.

Katanya, Tabung Haji memaklumkan kehilangan ibunya, pagi ini, dan akan cuba mencari ibunya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 8:47 PM