Seorang daripada dua yang maut, iaitu penunggang motosikal. FOTO Zairee Mohd Yasak
Oleh Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Penunggang dan pembonceng Honda EX5 maut selepas motosikal mereka terbabas dipercayai akibat dihimpit kenderaan berat di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam, di sini, 7.50 malam tadi.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.Jurucakap polis berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan untuk makan malam.

"Ketika tiba di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa di lorong kanan dipercayai dihimpit kenderaan berat.

"Penunggang motosikal tercampak beberapa meter ke lorong kiri manakala pembonceng pula terjatuh di atas pembahagi jalan," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 12:09 AM