AZAM mahu bergelar ikon usahawan dalam bidang kecantikan.
DIANA kekal cantik dan bertenaga.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Memiliki rupa paras menawan dengan tubuh badan masih ‘bergetah’, pasti sesiapa saja yang memandangnya tidak menyangka wanita cantik manis ini sudah menjangkau usia 50 tahun.

Selain dianugerahkan kecantikan dan kesihatan setanding dengan wanita berusia lingkungan 20-an, wanita ini juga berjaya membuktikan dengan usaha gigih tanpa kenal erti putus asa, saja mampu mengecapi kejayaan diimpikan.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana selain mempunyai adik-beradik yang ramai, wanita ini sudah dididik sejak kecil untuk sentiasa berusaha dan tidak mudah menyerah kalah untuk memiliki sesuatu.

Tiada istilah malas berusaha baginya yang juga anak kedua daripada tujuh beradik malah dia kini usahawan berjaya dalam bidang kecantikan di negara ini.

Pengalaman luas sejak 20 tahun dalam bidang perniagaan dan 15 tahun dalam bidang kecantikan menjadikan Datin Diana Ibrahim kini mampu tersenyum bangga dengan pencapaiannya.

Menurut Diana yang dikurniakan dua cahaya mata berusia 26 dan 22 tahun ini, dia menghabiskan tempoh hampir lima tahun untuk mempelajari serta mendalami bidang kecantikan.

“Saya berkelulusan dalam bidang perakaunan namun minat dan jiwa saya sememangnya dalam bidang kecantikan menyebabkan saya tekad mendalami bidang itu di Nanto, Itali.

“Niat saya bukanlah semata-mata untuk menjual produk namun saya lebih mahukan wanita khususnya di negara ini mementingkan aspek penjagaan kecantikan dan mempunyai maklumat tepat berkaitan bidang itu,” ujarnya.

Diana yang juga pengasas D&D Beauty House dan jenama Rich & Fabulous Beauty Sdn Bhd itu berjaya menghasilkan produk krim pertama di Malaysia yang berkolaborasi bersama TPM Biotech iaitu DD Cream by Rich & Fabulous Beauty.

“Krim terbabit sudah dijual di negara ini sejak awal tahun ini malah sudah berjaya memasuki pasaran Singapura, Indonesia, China, Filipina dan Jerman.

“Produk ini bukanlah sekadar bedak asas malah, ia lebih kepada sapuan harian pada wajah yang mana krim ini berfungsi untuk melindungi wajah hingga ke lapisan dermis yang turut mengandungi SPF40 ,” katanya.

Krim berkenaan juga sudah mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan selain ia disahkan halal.

Keluarga sumber kekuatan

Dia mengaku suami dan anak sumber kekuatannya untuk mengecap impiannya bergelar ikon usahawan wanita disegani suatu hari nanti.

“Suami suka mencabar diri saya bagi menguatkan usaha saya berjaya selain dua anak yang sentiasa memberi semangat dan kasih sayang tidak berbelah bahagi.

“Walaupun pada hakikatnya saya sering penat dan tidak cukup masa untuk keluarga, saya perlu bersyukur kerana mereka amat memahami dan menerima saya seadanya,” katanya.

Diana akui bukan mudah untuk dia mengeluarkan produknya sendiri kerana ia mengambil masa yang lama sebelum berjaya dihasilkan dan dipasarkan.

“Saya tidak mahu sewenangnya menghasilkan produk yang tidak berkualiti selain tidak memberikan kesan diharapkan pengguna kerana bagi saya kepuasan itu amat penting.

“Saya juga hampir kecewa dan menyerah kalah selepas mengalami pelbagai dugaan untuk menghasil­kan krim ini iaitu hampir enam tahun,”ujarnya.

Namun, dia kini amat berbangga kerana krim terbabit menerima sambutan memberangsangkan. Bagi mengembangkan jenamanya, dia turut merancang menghasilkan beberapa produk kecantikan lain dalam tempoh terdekat ini.

Rahsia kekal muda

Wanita gigih ini mengakui untuk tampil cantik dan memiliki tubuh kekal langsing pada usianya bukanlah suatu perkara mudah.

“Bagi saya menjalankan rutin harian di rumah dengan mengemas, memasak dan menyediakan keperluan anak-anak setiap hari mampu mengekalkan tenaga serta tubuh badan langsing.

“Saya turut mengamalkan senaman rutin di rumah dan beriadah bersama suami dan anak-anak sekiranya mempunyai masa terluang,” ujarnya.

Diana yang amat mementingkan aspek penjagaan dirinya turut mengingatkan kepada sesiapa saja yang mahu awet muda untuk tidak mengambil ais.

“Cuci muka sebelum tidur dan dapatkan tidur berkualiti kerana semua ini akan membantu anda kelihatan muda dan kekal cergas walaupun pada usia yang sudah meningkat.

“Saya gembira dan bersyukur dengan apa yang saya nikmati kini terutama apabila ramai yang menyangka saya masih di usia lingkungan 30-an. Malah, impian saya untuk bergelar ikon wanita dalam bidang kecantikan juga semakin menampakkan hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 10:34 AM