BERSAMA kakitangan yang menjadi tulang belakang ketika di pejabat.
KETIKA memberi ceramah dalam kelasnya.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my

Meminati bidang pelaburan sejak bergelar pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendorong Norizam Tukiman, 33, menjadikan bidang itu sebagai kerjaya pilihannya.

Meskipun kerjaya berkenaan lebih banyak dipelopori bukan Melayu, ia tidak pernah menghalang bapa kepada empat cahaya mata itu meneruskan cita-citanya bergelar remisier atau broker saham sehingga berada pada tahap sekarang.

Menceritakan detik permulaan dirinya menceburi bidang itu, Norizam berkata, dia antara 10 pelajar yang memohon dan bersungguh-sungguh dengan kursus ditawarkan kerana kebanyakan pelajar ketika itu tidak minat disebabkan pasaran saham mengalami penurunan dahsyat akibat kegawatan ekonomi pada 1997 hingga 1998.

"Saya bersyukur akhirnya berjaya bergelar pelajar jurusan pelaburan. Yang menarik minat saya untuk mendalami bidang ini ialah pelaburan ilmu tertinggi dalam dunia perniagaan dan korporat. Pemilikan perniagaan berdasarkan hak milik kepentingan ekuiti.

"Ramai tokoh korporat membuat transaksi saham dan menjadikan mereka 'pemilik sebenar' entiti perniagaan walaupun tiada kepakaran dalam perniagaan itu.

"Contohnya, Tan Sri Vincent Tan memiliki saham syarikat teknologi MOL Global Berhad walaupun tiada kepakaran dalam bidang IT. Kepakaran beliau adalah pemahaman potensi perniagaan melalui pemilikan saham.

"Beliau kaya raya sebab faham strategi pelaburan. Hal seperti ini yang menarik minat saya dalam bidang pelaburan," katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Norizam, sehingga kini jumlah mereka yang terbabit dalam bidang pelaburan di seluruh Malaysia adalah hampir 6,500 orang dan dianggarkan 20 peratus daripada mereka Melayu.

Ditanya faktor orang Melayu kurang meminati bidang pelaburan yang lebih dimonopoli bangsa Cina, Norizam merujuk kepada stigma negatif kemelesetan pelabur saham pada 1997 hingga 1998 yang diturun temurunkan kepada generasi baru.

"Pun begitu, hari ini pelabur baru semakin ramai kerana kelas saham yang dijalankan membantu memperbetulkan tanggapan negatif melalui cara dan strategi pelaburan bijak.

"Adatlah, setiap bidang mempunyai risiko. Begitu juga dengan pelaburan saham yang tidak terkecuali daripada tempias kegawatan ekonomi. Pada saya, bidang remisier adalah pekerjaan 'broker saham' yang menjadi perantara antara pembeli dan penjual saham.

"Kelebihannya adalah saya dapat bertemu ramai orang dengan pelbagai matlamat, termasuk yang positif dan tidak dengan pasaran saham tempatan. Orang Melayu juga mula faham kepentingan pelaburan ekuiti dalam kuasa ekonomi sebenar," katanya optimis.

Kini, Norizam boleh menarik nafas lega apabila bukan dirinya saja bergelar remisier malah ahli keluarganya, termasuk abang dan adiknya, turut menceburi bidang ini.

Beliau turut berkongsi kejayaan paling besar pernah diraih apabila menguruskan proses permohonan saham peruntukan khas Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pelabur Bumiputra pada penghujung 2010 iaitu saham Petronas Chemical Berhad dengan nilai lebih RM100 juta.

Selain itu, beliau dan Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia disokong Dewan Perniagaan Iskandar dan Majlis Belia Felda Malaysia menganjurkan Malaysia Investment & Stocks Exchange Expo(MISEE 2013) pada 2013. Walaupun tiada pengalaman dan kekurangan dana, beliau bersyukur penganjuran itu berjaya disempurnakan dan ramai pengunjung berpuas hati.

Mengakhiri perbualan, Norizam berpesan, untuk menjadi remisier, seseorang itu perlu berfikir sebagai 'businessman' dan harus bermatlamat membantu orang lain.

"Jangan fokus pada komisyen semata-mata, sebaliknya fikirkan matlamat pelabur dan nasihatkan mereka mengenai kegagalan pelabur terdahulu di samping terus membuat kajian mengenai potensi sesuatu saham. Pelabur saham ini hari sudah maju, oleh itu remisier juga kena lebih maju, bukan setakat ambil tempahan beli dan jual saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 6:05 AM