KEADAAN pacuan empat roda yang terbabas merempuh sebuah stesen minyak di Temerloh.
Oleh Syazwan Msar
am@hmetro.com.my

Temerloh: “Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu melanggar lampu isyarat sebelum menghentam sebuah motosikal hingga menyebabkan penunggangnya melambung ke tengah jalan,” kata seorang peniaga, Alif Saleh, 28.

Dalam kejadian jam 10 malam, kelmarin, seorang penunggang dan pemandu kereta parah selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum menghentam sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di Jalan Temerloh-Mentakab, berhampiran Jalan Bahagia, di sini.

Toyota Hilux itu kemudian terus meluru ke arah sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Kelisa serta dua kenderaan lain.

Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal, Mohamad Kamarul Ikmal Mohamad Kamarulzaman, 15, dari Taman Tualang Indah, di sini, dan pemandu Perodua Kelisa yang masih belum dikenal pasti identitinya parah.

Alif yang kebetulan berada di lokasi kejadian berkata, dia menunggang motosikal untuk minum bersama rakannya di gerai berhampiran sebelum melihat Toyota Hilux itu dari arah Mentakab ke bandar ini tidak berhenti walaupun lampu isyarat sudah merah.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 7:15 AM