PENDUDUK Sanaa berjalan di celah runtuhan bangunan yang musnah dalam serangan yang diketuai Arab Saudi, semalam.
Agensi

Sanaa: Pesawat pengebom pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi semalam mengebom ibu negara Yaman ini yang disifatkan saksi sebagai paling besar pernah dilakukan sepanjang peperangan lima bulan.

Serangan itu menyasarkan kediaman pemimpin pemberontak Houthi dan pangkalan tentera.

Letupan dan bunyi siren ambulans memaksa hampir dua juta penduduk di bandar raya itu tidak tidur sepanjang malam.

“Pesakit yang ketakutan melarikan diri dari hospital. Mereka bimbang bangunan hospital itu runtuh kerana pengeboman bertali arus terhadap pangkalan tentera berhampiran,” kata seorang pekerja hospital swasta.

Bagaimanapun, sehingga semalam, tidak ada laporan mengenai kemalangan jiwa akibat serangan terbaru itu. Sehari sebelum itu, enam orang terbunuh.

Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain melancarkan serangan terhadap Yaman sejak 26 Mac lalu bagi mengekang kemaraan Houthi yang menawan Sanaa tahun lalu dan memaksa kerajaannya melarikan diri ke Riyadh selepas hampir menawan kubu kuatnya di Aden.

Houthi yang berfahaman Syiah dari kabilah Zaydi menganggap kebangkitan mereka satu revolusi. Bagaimanapun, mereka ditentang oleh negara Teluk Arab berfahaman Sunni yang percaya kumpulan itu berusaha menyebarkan pengaruh Iran.

Sejak serangan misil membunuh 60 askar Teluk Arab di timur Sanaa Jumaat lalu, pakatan yang diketuai Arab Saudi meningkatkan serangan udaranya ke atas Sanaa dan menambah tentera, yang menurut laporan mencecah 10,000 orang, dalam usaha untuk mara dan mengusir Houthi dari Sanaa.

Penduduk bimbang pertempuran besar-besaran yang akan memusnahkan bandar raya itu berlaku dalam masa beberapa hari lagi.

Dalam pada itu, di Taiz, 18 orang terbunuh dalam letupan di kawasan kediaman yang didakwa berpunca daripada serangan meriam Houthi dan serangan udara pakatan Arab.

Seorang penduduk Sanaa Mohammed Saleh berkata, dia mengambil keputusan membawa keluarganya berpindah dari bandar itu.

“Tidak ada lagi tempat yang selamat di sini. Semua kawasan kediaman dibom setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 6:30 AM