NAJIB melawat pameran di ICW 2015 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) iaitu pelan lima tahun bermula 2016 hingga 2020 untuk industri pembinaan bertujuan menghasilkan pemain industri yang mapan di peringkat domestik dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pelan pelaksanaan komprehensif yang mengandungi 18 inisiatif itu terdiri daripada empat teras strategik iaitu Kualiti Keselamatan dan Profesionalism (QSP), Kemampanan Persekitaran, Produktiviti dan Pengantarabangsaan.

Menurutnya, CITP mampu menangani cabaran sedia ada dan isu dalam sektor pembinaan, sekali gus mentransformasikan dan mengubah imej industri pembinaan di peringkat tempatan serta antarabangsa ke arah lebih baik.

“Pelan ini yang juga sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) adalah amat penting ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020,” katanya pada pelancaran CITP sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW 2015) di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan teras pertama CITP iaitu Kualiti, Keselamatan dan Keselamatan sebagai prasyarat untuk ke arah industri yang maju dan bertanggungjawab.

“Dalam sektor pembinaan, kualiti adalah penting di mana kerajaan sedang giat mempromosikan penggunaan Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (Q-lassic) iaitu kaedah untuk menilai kualiti hasil kerja dalam pembinaan bangunan.

“Kita bercadang untuk memastikan Q-lassic menjadi elemen mandatori dalam setiap projek kerajaan menjelang 2018 dan diharap ia akan meningkatkan kualiti projek yang dibangunkan terutama untuk manfaat orang ramai,” katanya.

Najib berkata, kerajaan turut berhasrat untuk menjadikan industri pembinaan tempatan sebagai industri yang memiliki kadar karbon rendah, model infrastruktur dan bangunan yang mampan melalui penubuhan pusat kecemerlangan untuk pembinaan mapan menjelang tahun depan.

“Pada masa ini, industri pembinaan bergantung kepada buruh asing yang berkemahiran rendah meskipun untuk projek berskala kecil di mana buruh asing mewakili 19 peratus daripada jumlah pekerja asing di Malaysia berdasarkan statistik terbaru pada tahun ini.

“Oleh sebab itu, kami bercadang untuk meningkatkan pendekatan dalam membangunkan modal insan seperti memperkemaskan kursus berkaitan pembinaan, mewujudkan aliran latihan dan menguruskan semakan semula kursus latihan bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa industri,” katanya.

Sementara itu, kerajaan menjangkakan industri pembinaan akan kekal mencatatkan pertumbuhan dua angka pada tahun ini berdasarkan pencapaian pertumbuhan bagi dua tahun sebelumnya iaitu 10.8 peratus pada 2013 dan 11.8 peratus pada tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, industri pembinaan berjaya mencatatkan purata pertumbuhan kira-kira 11.1 peratus sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bermula 2011 hingga 2015

“Sepanjang RMK10, industri ini berjaya mencapai pertumbuhan paling tinggi iaitu 18.1 peratus pada 2012 dan saya optimis negara mampu mencapai pertumbuhan dua angka menjelang tahun terakhir RMK10.

“Saya percaya industri pembinaan akan kekal kukuh dengan pelbagai perancangan projek termasuk rumah mampu milik dan beberapa projek infrastruktur dan komersial. Sepanjang RMK11 ini, kami akan membina Tun Razak Exchange, Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid), Central Spine Road dan Lebuhraya Pan Borneo serta lain-lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 6:24 AM