KUCHING: Keadaan berjerebu di Kuching, Samarahan dan Sri Aman bertambah serius pagi ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ketiga-tiga kawasan naik dengan ketara pagi ini berbanding malam tadi.

Menurut laman Web Jabatan Alam Sekitar setakat 8 pagi ini, bacaan IPU di Samarahan melonjak kepada 163 berbanding 130 pada 8 malam tadi.

Kuching pula meningkat kepada 137 berbanding 107 dan Sri Aman 142 berbanding 11 malam tadi, sekaligus menunjukkan kualiti udara di tiga kawasan tersebut masih tidak sihat.

Tujuh kawasan lain di Sarawak pula mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 51 hingga 100 manakala di Sandakan, Sabah mencatatkan bacaan baik iaitu 46 dan tiga lagi kawasan di negeri itu merekodkan kualiti udara sederhana.

Tahap kualiti udara di Labuan turut sederhana iaitu 69.

Kebanyakan kawasan di Semenanjung pula mencatatkan bacaan IPU sederhana dan baik.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai kualiti udara baik, manakala 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 12:35 PM