Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Perenang kelahiran Johor, Wong Fu Kang sekali lagi membuktikan kehebatannya pada temasya Sukan Komanwel Belia apabila menyumbang emas peribadi kedua di Apia, Samoa, semalam.

Fu Kang mencatat 28.92 saat untuk menang dalam acara 50 meter kuak dada menewaskan lawan dari Afrika Selatan, James Grei Isemonger di tempat kedua 29.20s dan atlet Scotland, Hieran Preston ketiga 30.18s.

Kelmarin atlet yang menyumbang satu emas pada temasya Sukan SEA Singapura itu menghadiahkan emas pertama dalam acara renang kepada kontinjen negara dalam acara 100m kuak dada.

Kecemerlangan Fu Kang turut ikuti rakan senegara, Welson Sim yang menghadiahkan emas kedua dan ketujuh buat kontinjen pada hari kelima temasya dalam acara 400m gaya bebas lelaki.

Welson merekod 3 minit 54.25 saat untuk meraih emas menewaskan perenang Australia, Clyde Lewis untuk perak dan perenang England, Tom Derbyshire gangsa.

Bagi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail pencapaian atlet di Samoa itu membuktikan program pelapis menampakkan hasil yang boleh dibanggakan.

“Saya lega apabila program pelapis di antara umur 14-18 tahun menunjukkan adanya harapan cerah di masa depan. Kejayaan atlet menewaskan pesaing dari Australia terutamanya memberi petanda baik untuk sukan negara dan saya yakin mereka boleh terus mengorak langkah melakar lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Kontinjen Malaysia kini menghuni tangga keempat keseluruhan daripada 62 negara dengan sembilan emas, dua perak dan dua gangsa.

Pada edisi lalu, kontinjen negara menyumbang empat emas, dua perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:55 AM