PELABUHAN Klang menjadi antara penggerak ekonomi negara.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Pelabuhan Klang: Terengganu bakal membina sebuah pelabuhan baru di Pulau Kerengga, Marang sekali gus merancakkan sektor minyak dan gas, perkapalan serta perdagangan di negeri itu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, proses pembangunan pelabuhan itu kini dalam peringkat kajian selepas kerajaan negeri menerima kertas cadangan termasuk daripada beberapa syarikat dari China yang berminat.

Beliau berkata, pelabuhan di Pulau Kerengga itu dilihat sebagai satu usaha untuk mempelbagaikan sumber ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat negeri itu kelak selain mampu mengurangkan kesesakan di pelabuhan sedia ada.

“Kerajaan negeri juga menyediakan tapak seluas 4,000 hektar di Pelabuhan Pulau Kerengga dan pembinaannya akan dibina secepat mungkin selepas semua kajian berkaitan selesai.

“Kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju dengan cadangan ini kerana faktor lautnya yang dalam selain berdekatan dengan pelantar minyak membolehkan kapal dagang serta kapal pengangkut beroperasi dengan lancar,” katanya pada sidang media selepas penyerahan kapal MV JM Cekal milik Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd (Jasa Merin), di Muhibbah Marine Engineering (MME) Sdn Bhd, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jasa Merin, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman dan Pengarah Urusan MME, Mac Ngan Boon. Kapal ke-20 syarikat pengusaha perkapalan luar pesisir itu berfungsi sebagai kapal pesisir pantai (OSV) berharga RM109 juta dengan panjang 72 meter selain mempunyai kekuatan menarik sehingga 150 tan metrik.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sentiasa mengawasi perkembangan industri minyak dan gas luar pesisir yang mana OSV antara satu segmen terpenting.

“Walaupun syarikat minyak terpaksa melaksanakan langkah penjimatan berikutan ekonomi yang kurang memberangsangkan, saya yakin pengusaha perkhidmatan sokongan industri minyak dan gas di negara ini boleh terus bersaing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:29 AM