SEMAKIN terkenal kalangan pelbagai kelab luncur udara dari seluruh Malaysia.
Teks dan foto Mohd Sharumnisham Shahbudin
rencana@hmetro.com.my


Pemanduan hampir 11 kilometer, mendaki jalan sempit yang berliku sebelum sampai ke puncak Gunung Jerai pasti berbaloi apabila disajikan pemandangan yang indah sebaik tiba di penghujung perjalanan.

Sawah padi luas terbentang, pulau di perairan Selat Melaka dan suhu yang dingin antara 19 hingga 24 darjah Celsius serta berkabus akan memberikan kedamaian dan ketenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Selain itu, pelbagai destinasi menarik lain boleh dikunjungi apabila kita melawat ke gunung setinggi 1,217 meter itu antaranya Muzium Perhutanan, Telaga Tok Syeikh, Padang Tok Syeikh, Batu Kapal dan Gua Naga yang kebanyakannya menyimpan pelbagai misteri dan legenda.

Kini, pengunjung terutama peminat sukan ekstrem boleh menikmati keindahan panorama ini dengan cara berbeza kerana Gunung Jerai menjadi lokasi terbaru aktiviti luncur udara atau lebih dikenali paragliding.

Menurut Presiden Kelab Luncur Udara Jerai, Asnawi Mohd Hassan, lokasi dan kedudukan Gunung Jerai memang strategik dan menarik, malah mereka membuat percubaan pertama penerbangan dari atas gunung pada September tahun lalu.

“Kita mendapat kelulusan Jabatan Penerbangan Awam dan pihak berkuasa tempatan bagi aktiviti paragliding,” katanya.

Menariknya, ia mencatatkan sejarah tersendiri apabila Taman Luncur Udara Jerai ini menjadi tapak pelepasan tertinggi di Malaysia iaitu pada ketinggian lebih 500 meter dan mencatatkan pendaratan yang paling jauh sehingga kini iaitu sejauh 34 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:31 AM