LEFTENAN Komander Khairul Izwan keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Bernama
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Dua pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Kapten dan Leftenan Komander mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan menerima barang berharga tanpa balasan bernilai lebih RM2 juta berkaitan urusan pembekalan barangan TLDM sejak tahun lalu.

Tertuduh Kapten Abdul Aziz Gaffor,54, dan Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir,37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Abdul Aziz yang bertugas sebagai Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM didakwa atas tujuh pertuduhan menerima pelbagai barangan berharga tanpa balasan daripada Hussin Roslim@Roslind, yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan hubungan kerja rasmi dengan tertuduh diantara Mac hingga Disember 2014.

Khairul Izwan pula yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM didakwa atas lima pertuduhan menerima pelbagai barangan berharga dari individu sama yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepentingan hubungan kerja rasmi dengan tertuduh diantara Januari 2014 hingga Februari 2015.

Kedua- dua mereka dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Rihaida menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan kepada kedua- dua tertuduh manakala kes disebut semula 8 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 12:22 PM