KESAN kebakaran pada pesawat British Airways. FOTO AP
PESAWAT British Airways terbakar ketika bersedia untuk berlepas. FOTO AP/Eric Hays

Las Vegas (Amerika Syarikat): Dua orang cedera selepas enjin pesawat British Airways yang bersedia untuk berlepas terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran, di sini, hari ini.

Jurucakap McCarran, Chris Jones berkata, semua 159 penumpang dan 13 anak kapal penerbangan 2276 itu selamat keluar melalui gelongsor kecemasan.

Dua orang yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.

Anggota bomba memadamkan kebakaran dan semua penumpang dipindahkan pada 4.18 petang Selasa waktu tempatan (7.18 pagi Rabu waktu Malaysia), lima minit selepas panggilan kecemasan diterima.

Sementara itu, jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Ian Gregor berkata, enjin kiri pesawat tiba-tiba terbakar ketika pesawat itu masih di landasan dan punca kebakaran sedang disiasat.

Kejadian ini menyebabkan satu landasan ditutup tetapi tiga lagi landasan masih beroperasi.

Pesawat Boeing 777-200 itu dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Gatwick berhampiran London, England. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 10:56 AM