ADINAN (dua dari kanan) bersama Zamzamzairani (kanan) pada majlis menandatangani perjanjian antara TM dan BSN, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) berharap dapat memuktamadkan urus niaga Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB) dan Jalur Lebar Sub Bandar (SUBB) dalam tempoh dua bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, pihaknya dalam proses perbincangan akhir dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Sekarang kami menunggu maklum balas kerajaan. Kami harap ia dapat dimuktamadkan dalam satu atau dua bulan lagi,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara TM dan Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning. Projek HSBB dan SUBB yang merangkumi tempoh 10 tahun membabitkan pelaburan masing-masing RM1.8 bilion dan RM1.6 bilion. TM sudah menerima surat lantikan (LOA) dan kini memasuki tahap perbincangan peringkat akhir memperkemaskan lagi butiran terperinci HSBB2 dan SUBB.

Projek HSBB2 dan SUBB itu kerjasama dengan kerajaan untuk menggunakan rangkaian teras akses dan domestik bagi menyediakan prasarana dan perkhidmatan rangkaian jalur lebar menyeluruh.

Sementara itu, TM menjangkakan perkhidmatan Projek Transformasi Rangkaian Berintegrasi yang disediakan untuk BSN akan siap sepenuhnya menjelang Mac 2016.

Zamzamzairani berkata, setakat ini projek berkenaan dalam fasa 40 peratus siap dan ia akan lengkap menjelang suku pertama tahun depan.

Melalui perkhidmatan itu, TM akan menyediakan Rangkaian Kawasan Lebar (WAN) menghubungkan 413 cawangan BSN di seluruh negara. Selain itu, TM juga menyokong infrastruktur perkhidmatan Telepresence Exchange yang membawakan video berdefinisi tinggi bagi membolehkan persidangan video dilakukan antara ibu pejabat BSN dan cawangannya secara lebih berkesan.

Menurutnya, rangkaian berkenaan direka khas bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan BSN dengan menjadikan urusan yang dilakukan lebih cepat dan terurus.

“Kami menawarkan dua jenis perkhidmatan iaitu capaian yang membolehkan kakitangan BSN memproses data menggunakan Internet dan turut menawarkan Rangkaian Kawasan Tempatan (LAN) terurus serta aplikasi terurus yang membantu kelancaran operasi harian BSN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 8:14 AM