Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penderitaan ditanggung pengendali berstatus ‘direhatkan’ B Sathianathan sedikit terubat apabila sudah menerima gaji tertunggak bagi Jun.

Katanya, walaupun Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) masih belum menyelesaikan tunggakan untuk Julai dan Ogos, beliau tetap lega dan berterima kasih kepada majikannya itu terutama bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

“Semalam (kelmarin) saya diberitahu pemain ATM (Angkatan Tentera Malaysia) juga sudah menerima gaji.

“Jadi, saya ke bank dan memang benar gaji saya turut dibayar. Cuma ia untuk satu bulan (Jun) dan mereka masih perlu selesaikan tunggakan dua bulan (Julai dan Ogos).

“Saya cukup lega dengan perkembangan positif ini. Bukan saja saya pemain juga pasti lega apabila menerima gaji ini. Mungkin selepas ini mereka akan lebih bermotivasi,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, karier jurulatih berusia 57 tahun itu seakan-akan menemui penghujungnya apabila beliau digantung begitu saja oleh PBATM dengan gajinya juga tidak dibayar sejak tiga bulan lalu.

Semuanya bermula apabila The Gladiators mengalami kemerosotan prestasi yang menyaksikan PBATM membuat keputusan mengejut pada 14 April lalu dengan mengarahkan Sathianathan berehat daripada tugasannya buat sementara waktu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan pada 27 Julai lalu memutuskan notis diberikan PBATM kepada Sathianathan tidak sah kerana melanggar prosedur ditetapkan dengan jurulatih itu dibenarkan kembali menjadi pengendali ATM.

Namun, sikap ‘acuh tak acuh’ persatuan itu mengundang rasa kecewa Sathianathan yang akhirnya memfailkan afidavit kedua kepada FAM pada 18 Ogos lalu.

“Saya tetap dengan pendirian untuk keluar daripada ikatan kontrak bersama mereka. Lagipun mereka sendiri memang tidak berminat untuk mengekalkan saya.

“Baik saya bawa diri dan mereka perlu membayar pampasan kontrak. Itu keputusan muktamad saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai masa depannya, beliau menjelaskan ada beberapa pasukan cuba memancingnya untuk musim depan, namun enggan mengulas perkara itu lebih lanjut demi menghormati PBATM.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) difahamkan sedang diintai tiga pasukan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 7:56 AM