ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan di Simpang Pelabuhan berhampiran Palembang di pulau Sumatera, semalam.

Jakarta: Asap tebal akibat kebakaran hutan di Sumatera menyebabkan sebuah lapangan terbang di pulau berkenaan terpaksa ditutup, kata pegawai semalam.

Sekurangnya 36 penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Thaha di wilayah Jambi dibatalkan kelmarin apabila jarak penglihatan jatuh ke paras 90 meter, kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Nugroho.

Ketua pengurusan bencana di Jambi, Muhammad Suadi pula memberitahu, lapangan terbang itu tidak beroperasi sehingga semalam akibat jarak penglihatan yang terhad.

Kata Sutopo, pencemaran udara di wilayah itu kini sudah masuk ke tahap paling tidak sihat.

“Pesawat yang digunakan untuk menggugurkan bom air bagi memadamkan kebakaran hutan di wilayah itu juga tidak boleh berlepas,” jelasnya.

Menurutnya, imej satelit mengesan 413 titik panas yang menunjukkan berlakunya kebakaran di Sumatera.

“Saya hampir tidak boleh melihat apa-apa, terutama ketika waktu tengah hari,” kata seorang penduduk Jambi, Iko Matusunia.

Kata wanita itu, keadaan semakin buruk akibat kemarau yang berpanjangan.

“Perigi di kawasan ini sudah kering dan kami terpaksa membeli air bersih,” jelasnya.

Kerajaan pada minggu lalu memberitahu, lebih 25 juta penduduk di Sumatera dan pulau Borneo terjejas dengan masalah jerebu.

Situasi darurat akibat jerebu diisytiharkan di enam wilayah dan sekolah juga diarah ditutup.

Masalah jerebu melanda Indonesia dan negara jirannya hampir setiap tahun akibat pembakaran hutan walaupun kerajaan mengharamkan aktiviti berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 7:02 AM