Motosikal mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Marang: Pemuda berusia 20 tahun maut selepas Yamaha LC 135 ditunggangnya melanggar bahagian depan pacuan empat roda Nissan X-Trail yang membuat pusingan-U dalam kejadian di Kilometer 12 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Dua, Bukit Payong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, mangsa, Mohamad Syafiq Mohamad Zaidi dari Kampung Bukit Payong, di sini, dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian depan pacuan empat roda yang membuat pusingan-U di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di kiri jalan menghala ke Kuala Berang.

"Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuala Berang manakala pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu sebelum berhenti di tempat kejadian untuk membuat pusingan-U.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Berang untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 10:12 PM