Oleh Ainul Fatihah Mansor
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Pendidikan sentiasa memantau indeks pencemaran udara (IPU) di seluruh negara bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk sesi pembelajaran sekali gus memberi keselesaan kepada calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemantauan itu dilakukan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.

Beliau berkata, pada masa sama kementerian juga menggalakkan pihak sekolah supaya menyediakan topeng kepada pelajar sebagai langkah berjaga-jaga.

"Seramai 455,929 calon menduduki UPSR pada hari ini di seluruh negara.

"Sekiranya bacaan IPU melebihi 250, kita akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) di sini, hari ini.

Seramai 135 calon menduduki peperiksaan itu di sekolah berkenaan yang bermula 8.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 9:43 AM