DOKTOR berjaya mencantumkan kemaluan mangsa.

Zhytomyr Oblas (Ukraine): Kemaluan seorang kanak-kanak berusia enam tahun putus selepas digigit kuda peliharaan keluarganya.

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu menunggang basikal melintasi depan kuda betina berkenaan.

Menurut laporan, kuda itu menyerang mangsa secara tiba-tiba, menyebabkan kanak-kanak itu jatuh sebelum ia menggigit kemaluannya.

Mangsa meraung kesakitan sambil berlari menuju ke arah bapanya.

Lelaki itu berkata, dia bernasib baik kerana menemui semula bahagian kemaluan anaknya yang terputus.

Kejadian aneh itu berlaku di wilayah Zhytomyr Oblas di utara Ukraine.

Si bapa yang terkejut dengan kejadian itu berkata: “Saya memberi makan kepada kuda lain apabila mendengar anak saya menjerit: ‘Dia gigit saya, dia gigit saya.’

“Saya memegang kemaluannya untuk menghentikan pendarahan dan menelefon ambulans.”

Mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menjalani pembedahan kecemasan.

Doktor Igor Vishpinsky yang merawat kanak-kanak itu berkata, dia berdepan dengan pelbagai kes rumit sejak beberapa tahun lalu, tetapi kes kemaluan digigit kuda adalah yang paling aneh.

“Sebelum ini, kami menerima pesakit yang putus jari kerana digigit kuda atau sebagainya.

“Tetapi, ini kali pertama pesakit datang dengan kemaluan terputus kerana digigit kuda,” katanya.

Pakar bedah berjaya mencantumkan kemaluan itu, tetapi memerlukan masa untuk menentukan sama ada pembedahan itu berjaya atau sebaliknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:17 AM