Jakarta: Kerajaan Indonesia bakal mengukuhkan sistem persenjataan di Pulau Natuna bagi berdepan ancaman masa depan dalam pertikaian di Laut China Selatan.

Pulau Natuna terletak 550 kilometer dari barat Pulau Batam dan bersempadan dengan Vietnam, Kemboja dan Malaysia.

Pulau itu juga terletak di sempadan Indonesia yang paling hampir dengan Laut China Selatan.

“Kami akan melengkapkan Natuna dengan sebuah pelabuhan dan memanjangkan landasan pangkalan tentera udara di sana.

“Selepas siap kelak, landasan itu boleh memuatkan empat jet pejuang,” kata Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu.

Menurutnya, beberapa jet pejuang tambahan akan di tempatkan di pangkalan tentera udara Ranai di Natuna.

Ryamizard berkata, beliau sudah membuat senarai sistem senjata yang diperlukan di kawasan sempadan dan senjata yang sesuai bagi menghalang sebarang ancaman terhadap wilayah Indonesia.

“Kita bukan berdepan dengan situasi peperangan, tetapi Laut China Selatan sangat hampir dan kita perlu bersedia.

“Sistem persenjataan kita sudah bagus, tetapi kita perlu menambah senjata lagi supaya kita tidak perlu bimbang sepanjang masa,” jelasnya.

Beberapa negara termasuk China, Malaysia, Vietnam dan Filipina terbabit dalam tuntutan bertindih ke atas wilayah di Laut China Selatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:14 AM