MARTIN gemar nasi lemak.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Makanan tradisi masyarakat Melayu, nasi lemak menjadi hidangan kegemaran cef selebriti dari Amerika Syarikat (AS), Martin Yan ketika terbabit dalam rakaman program memasak Taste of Malaysia di negara ini pada April lalu.

Bagi menarik lebih ramai penonton, program 26 episod itu dipersembahkan dalam dua versi iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin.

Versi Mandarin bersiaran di 8TV pada setiap Ahad, jam 6.30 mulai esok manakala bahasa Inggeris bermula Selasa ini, jam 9 malam di ntv7.

Yan, 67, ketika ditemui pada majlis pelancaran Taste of Malaysia baru-baru ini berkata, Malaysia bukan saja kaya dengan pelbagai budaya etnik masyarakat tetapi juga makanan.

“Setiap lokasi di Malaysia mempunyai kisah unik tersendiri, malah makanan di setiap negeri juga menarik dan berlainan, berbeza dengan negara lain yang hanya terdapat hidangan sama.

“Antara masakan tempatan kegemaran saya adalah nasi lemak kerana hidangan itu kaya dengan rempah,” katanya.

Berpengalaman 36 tahun dalam bidang kulinari, Yan berkata, masakan hotel dan restoran di negara ini dikendalikan ramai cef hebat dari seluruh dunia.

“Malaysia sememangnya banyak kedai untuk menjamu selera termasuk gerai dan makanan jalanan yang menarik perhatian saya,” katanya.

Menceritakan lanjut mengenai pengalaman berada di Malaysia selama 67 hari, cef berasal dari Hong Kong itu sukar menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca negara ini.

“Cuaca panas membuatkan saya rasa kurang selesa ketika penggambaran. Ini kerana saya sudah biasa dengan cuaca di San Francisco sejuk dan kering. Bagaimanapun, saya tidak kisah berpanas kerana program ini demi kebaikan penonton.

“Bahkan, saya tidak pernah melihat begitu banyak nyamuk bersaiz besar. Justeru, peluang menjelajah Malaysia pengalaman manis bagi saya,” katanya.

Program Taste of Malaysia dirakamkan di beberapa lokasi antaranya Ipoh, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak mengetengahkan tradisi serta masakan masyarakat tempatan.

Nama Yan mula dikenali ramai selepas mengendalikan siri program masakan hidangan masyarakat Cina, Yan Can Cook yang disiarkan di 60 negara.

Beliau turut memiliki rangkaian restoran Yan Can dan menghasilkan 24 buku masakan.

Selain itu, Yan turut tampil sebagai juri jemputan dalam beberapa episod program realiti Iron Chef America serta membintangi dalam filem Hong Kong Rice Rhapsody pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 10:30 AM