PESAKIT yang tidur akan dipantau.
PESAKIT hanya perlu tidur semalam untuk pemantauan.
MENGGUNAKAN rawatan ‘positive airway pressure’ (PAP).
Oleh Kusyi Hirdan

Seorang lelaki kelihatan sering keletihan. Mudah mengantuk dan mudah tertidur di mana saja. Wajahnya tidak ceria dan kelihatan seperti orang yang tertekan.

Adakah dia sakit jantung? Kekurangan oksigen? Tidak bersenam? Sesungguhnya dia nampak sakit. Kita lantas terus mengaitkan keadaan lelaki itu dengan bermacam perkara lain seperti salah makan, kurang vitamin atau mungkin dia perlu bercuti. Kita jarang atau tidak mungkin mengaitkan lelaki terbabit akibat kurang tidur!

Sebenarnya menurut pakar di bidang perubatan tidur, Dr Muventhiran Ruthranesan daripada Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka, ramai antara kita yang tidak tahu mengenai penyakit obstructive sleep apnea (OSA) iaitu penyakit berkenaan gangguan tidur.

“Orang yang melihat pesakit ini akan terdorong mengatakan si pesakit itu malas kerana keadaan lahiriahnya yang sentiasa letih dan tidak produktif. Saya pernah melihatnya berlaku, daripada ketua tertinggi hingga guru yang mengalami penurunan kerjaya sehingga ada yang dikenakan tindakan tatatertib dan kemudian dia kemurungan. Walhal dia sebenarnya menghadapi penyakit kekurangan tidur,” katanya.

OSA adalah suatu gangguan tidur yang serius apabila pernafasan seseorang berulang kali terhenti akibat adanya sumbatan pada jalan nafas ketika tidur. Apa sebenarnya yang menimpa pesakit OSA ketika tidur?

“Apabila membuat ujian tidur, boleh dilihat peratusan oksigen di dalam darah yang sepatutnya sekitar 98 hingga 99 peratus tetapi bagi golongan ini, ia jatuh menjunam ke 40 hingga 50 peratus.

“Saya pernah melihat pesakit yang ketika dibuat ujian tidur, pernafasannya terhenti 120 kali dalam sejam. Bayangkan dia tidur selama enam jam. Peratus oksigennya sepanjang malam sangat rendah,” katanya.

Ketika tidur, pesakit tidak dapat mengekalkan potensi saluran udara mereka. Ini mengakibatkan penutupan saluran udara dan membawa kepada pemberhentian aliran udara (apnea) ke dalam dan keluar paru-paru. Akibatnya, peratusan kepekatan oksigen darah jatuh ke tahap yang sangat berbahaya. Ini bukan saja disebabkan penyempitan saluran udara, tetapi juga perubahan kawalan pusat pernafasan di dalam otak mereka yang menghidapi OSA.

“Selain diri sendiri menyedari hal ini, kebiasaannya masalah ini disedari oleh pasangan. Biasanya isteri yang perasan sebab dengkuran suami terlalu kuat dan mengganggu tidurnya.

“Sebab itu apabila menemu bual pesakit, kami mahu pasangannya ada bersama kerana biasanya waktu tidur pesakit tidak tahu apa yang berlaku pada dirinya,” katanya.

Menurut Dr Muventhiran, OSA juga boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Bagi mereka yang berusia di bawah 12 tahun, cara rawatannya berbeza, begitu juga mereka yang melebihi 12 tahun.

Ada ciri-ciri yang berlainan antara kanak-kanak dan dewasa.

Ujian tidur

Ujian tidur perlu dilakukan untuk memantau dan mendapatkan matlumat berhubung kekerapan pernafasan pesakit berhenti dalam sejam ketika tidur.

“Mereka yang mendapatkan rawatan bukan hanya kerana masalah berdengkur atau sukar tidur tetapi paling penting, mereka melalui kualiti tidur yang tidak bagus. Walaupun tidur enam jam, selepas bangun, badan masih tidak segar.

“Ketika ujian tidur dilakukan, pesakit dipakaikan satu alat dan hanya perlu tidur di hospital semalaman. Pesakit perlu tidur saja dan pihak hospital akan memantau gelombang otak untuk mengetahui tahap pesakit.

“Bagi yang normal, mereka akan beralih dari tahap satu, dua dan tiga kemudian mereka tidur. Tetapi bagi seseorang yang kronik, mereka akan mudah sekali tertidur.

“Malah, sambil menunggu giliran di klinik saya pun mereka boleh tidur. Ini terjadi kerana mereka melalui kualiti tidur tidak bagus. Bayangkan sekiranya kita terjaga 100 kali dalam sejam, asyik terjaga dan terjaga, pasti ini mengakibatkan hasil tidur yang tidak sempurna,” katanya.

Di Malaysia, kesedaran mengenai penyakit ini masih terlalu kecil. Lelaki lebih tinggi risikonya berbanding wanita. Umur juga faktor yang memungkinkan iaitu lebih 50 tahun ke atas, selain masalah obesiti. Malaysia adalah antara negara teratas di Asia Tenggara mempunyai masalah obesiti.

Simpton OSA

- Kuat berdengkur

- Mudah tersedar daripada tidur pada waktu malam

- Kerap bangkit sepanjang malam

- Sakit kepala sebaik bangun tidur

- Badan tidak segar sebaik bangun pagi

Risiko OSA

- Mengalami serangan jantung dan strok pada usia muda

- Lemah jantung

- Mati pucuk

- Kurang tumpuan pada waktu siang dan kurang produktiviti

- Meningkatkan risiko kematian secara tiba-tiba semasa tidur disebabkan ritma jantung tidak normal

- Kemerosotan kognitif dan daya ingatan lemah

Apa yang perlu dilakukan?

- Dapatkan pemeriksaan untuk pengesahan, berjumpa doktor perubatan tidur. Doktor yang terlatih

akan menentukan jenis ujian tidur yang sesuai untuk anda.

- Ujian tidur dapat memantau gelombang otak anda.

- Melalui keputusan ujian tidur, rawatan akan diberi berdasarkan tahap anda sendiri dan anda berhak membuat pilihan terbaik dengan alat bantuan pernafasan yang ada

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 9:56 AM