RAKYAT Yaman yang cedera dibawa naik ke pesawat di Lapangan Terbang Aden untuk menjalani rawatan di Sudan.
Agensi

Sanaa: Letupan kuat menggegarkan ibu negara Yaman semalam selepas pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi meningkatkan serangan udara berikutan kematian puluhan tentera negara Teluk dalam satu serangan misil.

Saksi berkata, pesawat pakatan Arab itu mengebom kedudukan pemberontak Houthi dan pangkalan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

Antara sasaran serangan ialah pangkalan tentera di Najdain dan bukit Fajj Attan serta kompleks presiden di selatan Sanaa.

Turut menjadi sasaran ialah kedudukan Houthi di sekitar kejiranan Sufan dan Al-Nahda.

Penduduk berkata, letupan kedengaran sepanjang malam dan banyak bangunan runtuh.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kematian memandangkan kebanyakan penduduk sudah berpindah.

“Bunyi letupan tidak berhenti sejak jam 1.15 pagi (6.15 pagi waktu Malaysia),” kata seorang penduduk.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 24 anggota dua keluarga terbunuh dalam serangan yang menyasarkan kedudukan Houthi di Sanaa, kata sumber perubatan tempatan.

Pakatan Arab meningkatkan serangan udara selepas serangan misil terhadap sebuah depoh senjata di Marib, timur Sanaa menyebabkan 60 askar terbunuh - 45 daripadanya tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), 10 Saudi dan lima Bahrain.

Pemberontak Houthi berkata, kematian 60 askar itu adalah tindakan membalas dendam terhadap serangan udara selama enam bulan yang dilancarkan pakatan Arab.

Bagaimanapun, pakatan itu berikrar, kejadian itu tidak akan menyebabkan mereka menghentikan serangan udara.

Arab Saudi mengetuai pakatan beberapa negara Teluk menyerang Yaman selepas Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi melarikan diri untuk berlindung di Riyadh selepas kubunya di Aden diserang oleh Houthi.

Selepas pejuang dan askar yang setia kepada Abed Rabbo menguasai semula Aden, pakatan Arab melancarkan operasi darat sehingga memaksa pemberontak Houthi berundur dari lima wilayah di selatan negara itu.

Mereka bagaimanapun masih menguasai Sanaa dan sejumlah besar kawasan di utara dan tengah Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:55 AM