Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Kelmarin, genap 31 usia penyanyi yang mula popular dengan lagu Nadiku, Sabhi Sadhi dan tahun ini diraikan dalam satu majlis istimewa.

Pada malam sebelum ketibaan 4 September, kelab peminat artis kelahiran Sandakan, Sabah itu mengadakan satu majlis kejutan meraikan ulang tahun kelahirannya.

Ternyata usaha dilakukan kelab peminatnya sejak tiga tahun lalu membawa pengertian besar dalam hidupnya. Sabhi yang kini popular dengan lagu duet bersama Nieyl, Kisah Kita, akui cukup terharu dengan usaha yang dilakukan itu.

Lebih bermakna apabila isterinya, Ros Awani Abdul Razak dan anak, Sofia Reesya, 3, dan Sofia Rania, 1, serta anak tirinya juga ada bersama.

“Dalam usia mencecah 31, tiada apa lagi yang mahu saya kejar. Rasanya apa yang saya impikan sudah terlaksana. Cuma sekarang saya perlu mengekalkan momentum kerja agar apa yang diusahakan berpanjangan,” katanya.

Katanya, jika ada yang bertanya akan pengertian sambutan ulang tahunnya kali ini, dia berasakan sebaik usia mencecah 30, sebagai lelaki sudah berkeluarga, dia berasakan dirinya sudah matang untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

“Apabila bergelar bapa, pada saya anak adalah keutamaan dan kerjaya jatuh nombor dua. Anak juga pembakar semangat saya untuk bekerja lebih keras dan memberikan mereka kehidupan lebih baik demi masa depan.

“Sekarang saya banyak memikirkan masa depan anak dan saya bekerja keras untuk keluarga. Begitupun, isteri adalah tulang belakang saya kerana dia banyak membantu malah turut berusaha dengan menjalankan perniagaan sendiri,” katanya.

Kematangan Sabhi juga terserlah kerana dia berbeza dari dulu apabila dilihat lebih bersikap terbuka. Malah dia tidak pernah menyorokkan kehidupan peribadinya berbanding sebelum ini merahsiakan pernikahannya dengan Ros Awani.

Katanya, ketika bernikah pada usia masih 29 dia belum matang tetapi sekarang sudah matang. Lagipun kini dia melihat tiada apa yang hendak disorokkan.

“Sebagai lelaki, hidup saya kini sudah sempurna,” katanya.

Tegas Sabhi, waktu menikahi Ros Awani dia tidak mempunyai niat untuk merahsiakannya cuma apa yang dirancang (pernikahan) berlaku lebih awal dari perancangan sepatutnya.

“Waktu saya bernikah pun sebenarnya keluarga saya sendiri tidak tahu. Memang saya akui waktu itu ayah berasa kecewa tetapi pada saya waktu itu hanya satu perkara yang difikirkan iaitu menghalalkan hubungan kami.

“Saya memegang prinsip mudah. Sekiranya wanita itu mampu menjaga saya dan mahu menjalani hidup bersama hingga ke akhir hayat, saya tidak mahu buang masa.

“Sebelum ini saya sudah mengalami banyak kekecewaan dalam bercinta, jadi apabila saya bertemu dengan wanita yang saya rasakan mampu menjaga saya, jadi saya mahu menikahinya secepat mungkin,” katanya.

Sabhi akui selepas bernikah dan memberitahu keluarganya, dia merancang untuk mengadakan majlis resepsi tetapi rezeki datang apabila mereka dikurniakan anak kedua. Jadi perancangan itu tidak dapat direalisasikan.

“Waktu membawa isteri bertemu keluarga di Sabah, ada pihak media sudah dapat menghidu dan berita saya sudah bernikah menjadi ‘viral’. Begitupun, apabila ada yang bertanya saya mengaku dan menyatakan status saya yang sebenar,” katanya.

Mengenai kerjaya seni yang tidak menentu sedangkan keluarganya semakin berkembang, kata Sabhi dia tidak pernah risau mengenainya kerana tahu bagaimana susah pun dia tetap akan berusaha memastikan keperluan dipenuhi.

“Ayah dulu selalu berpesan kepada saya. Sebagai lelaki dan ketua keluarga, sentiasalah berusaha menjadikan wang 20 sen menjadi RM1.

“Saya pula meletakkan sasaran dalam diri agar sentiasa bekerja untuk mendapatkan RM1. Itulah perlambangan saya dalam berusaha untuk membina kehidupan.

“Saya percaya Allah itu adil. Kalau kita berusaha dan bekerja keras, pasti ganjarannya ada. Begitupun, saya dan isteri selalu juga merancang untuk masa depan.

“Mungkin kami akan memulakan perniagaan sendiri tetapi bukan dalam waktu terdekat ini kerana pada saya sekarang ini tumpuan harus diberikan kepada kerjaya seni, memandangkan ia sedang berkembang dengan baik,” katanya.

Lagu Kisah Kita duet dengan Nieyl adalah single terbaru penyanyi yang dicungkil dari program Mentor musim kedua. Ia menjadi sandaran terbaru Nieyl selepas tiga tahun selepas lagu Sering kedua-duanya ciptaan Amylea. Ia juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama bersiri Bercinta dan filem Jengka.

Kisah Kita juga lagu duet kedua Sabhi selepas Cinta Sesungguhnya dengan Marsha. Kini tumpuannya untuk membantu promosi lagu itu sebelum muncul dengan lagu sendiri tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:02 AM