TZE Liang ceria mempamerkan pingat emas yang dimenangi.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kekecewaan gagal melayakkan diri ke temasya Olimpik London tiga tahun lalu terubat apabila penerjun negara Ooi Tze Liang membuktikan dia kini penerjun terbaik lelaki negara selepas menjadi atlet lelaki pertama dan ketiga negara layak ke temasya Olimpik Rio semalam.

Tze Liang menempah tiket secara merit dalam acara 3m papan anjal apabila muncul juara dalam acara itu selepas mengumpul 484.45 mata, meninggalkan rakan senegara Ahmad Amsyar Azman di tempat kedua (469.65) dan penerjun China Peng Jiang Feng ketiga (388.10).

Kesilapan Jiang Feng pada terjunan terakhir membuka peluang buat Tze Liang meraih kemenangan bermakna di depan penyokong sendiri di kejohanan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional.

“Saya bersyukur dan kejayaan ini bagaikan mimpi. Jika Olimpik lalu saya seorang saja yang tidak layak, saya terus bertekad dan meningkatkan usaha hingga hari ini dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.

“Terima kasih kepada semua terutama jurulatih (Yang Zhuliang), MSN (Majlis Sukan Negara) dan kepada semua yang memberi sokongan,” katanya yang berharap selepas ini akan lebih ramai lagi penerjun negara layak ke Olimpik Rio.

Mengulas mengenai lawan dari China pada terjunan ketiga berada di ranking pertama, Tze Liang berkata, dia langsung tidak memikirkan pihak lawan dan hanya fokus terhadap terjunan sendiri dan pendekatan itu akhirnya membuahkan hasil apabila tiada kesilapan besar dilakukan.

Malah terjunan pada tahap kesukaran 3.9 membolehkannya memintas Jiang Feng, juara Sukan Universiti Dunia itu.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA Singapura itu berharap selepas ini dapat meneruskan aksi konsisten sekali gus cuba mendapatkan tiket ke Rio dalam acara 10m platform yang akan berlangsung esok.

Sementara itu bagi Zhuliang kejayaan Tze Liang itu diharapkan mampu menjadi tanda aras kepada penerjun lain untuk mengikuti jejak langkah mereka yang sudah layak ke Rio.

Jelasnya, saingan hari ini tidak mudah terutama dalam acara 10m platform wanita membabitkan penerjun dari China yang muncul sebagai juara kebangsaan selain kehadiran penerjun dari Jepun.

Kontinjen negara menamatkan saingan hari pertama dengan merangkul satu emas dan dua perak.

Perak kedua negara hadir menerusi gandingan Muhammad Syafiq Puteh dan Wendy Ng dalam acara 3m papan anjal campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:19 AM