AHMAD Razif (berdiri, tujuh dari kanan) bersama pasukan THT.
Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Juara bertahan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) membuktikan mereka layak bergelar kuasa hoki negara apabila muncul juara Liga Hoki Malaysia selepas menumpaskan Kuala Lumpur Hockey Team (KLHC) dengan kemenangan tipis 5-4 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Batu Burok, malam semalam.

Kehadiran Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan lebih 5,000 peminat fanatik tuan rumah berjaya menyuntik semangat anak buah jurulatih Sarjit Singh yang mengasak sejak awal permainan untuk memburu jaringan.

Bagaimanapun, THT yang ghairah melakukan asakan dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi tolakan cantik pemain kebangsaan Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-4.

Selepas jaringan pelawat itu anak buah jurulatih Sarjit Singh tidak patah semangat sebaliknya terus mengatur gerakan dan hasilnya empat minit berselang penyerang kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyamakan kedudukan hasil gerakan sudut penalti.

Jaringan penyamaan itu terus membakar semangat pemain THT untuk menambah jaringan, namun empat percubaan bahaya tuan rumah dihalang pertahanan pelawat yang diketuai Kevin Frederick Lim.

Pada minit ke-15 tuan rumah mendapat pukulan penalti yang disudahkan dengan tolakan menarik Fitri Saari untuk jaringan kedua THT.

Tiga minit sebelum berakhir suku kedua berakhir THT mendapat sekali lagi pukulan penalti, namun Fitri gagal menyudahkan peluang terbabit.

Bersambung suku ketiga THT menjarakkan kedudukan dengan jaringan ketiga menerusi Muhammad Firhan Ashari yang mendapat umpanan Fitri pada minit ke-32.

Pelawat yang memerlukan seri terus berusaha merapatkan kedudukan dan hasilnya kapten Muhammad Razie Abd Rahim meledak jaringan kedua pasukannya pada minit ke-34 hasil pukulan sudut penalti.

Razie yang menjadi nadi kekuatan KLHC sekali lagi meledak jaringan juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-47 bagi menjadikan kedudukan 3-3.

Penjaring terbanyak musim lalu Faizal Saari menggamatkan stadium apabila meledak gol peribadi ke-13 apabila menghasilkan jaringan keempat tuan rumah pada minit ke-49.

Pasukan pelawat yang juga ghairah memburu kemenangan sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Noor Faeez Ibrahim pada minit ke-50.

Bagaimanapun, ketika perlawanan yang seakan-akan berkesudahan seri, Fitri sekali lagi meledak gol kemenangan THT seminit sebelum berakhir perlawanan bagi menjadikan kedudukan 5-4.

Trofi Liga Hoki Malaysia disampaikan Ahmad Razif sebaik tamat perlawanan.

Sementara itu, perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil menyaksikan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tumpas 2-3 kepada Sapura, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalahkan Maybank 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:15 AM