Ankara: Sejak tahun lalu, puluhan ribu pelarian berkubur dalam Laut Mediterranean namun ia tidak memberi kesan kepada negara Eropah sehinggalah gambar mayat Aylan yang berusia tiga tahun terdampar di tepi pantai mencetuskan simpati pemimpin Eropah yang sudah mengambil beberapa tindakan membantu pelarian.

Gambar mayat Aylan Kurdi, yang tersebar melalui media sosial serta menjadi tajuk utama berita TV dan akhbar di seluruh dunia bagaikan menceritakan betapa terdesaknya pelarian dari Timur Tengah yang negara mereka diancam peperangan mahu melarikan diri ke Eropah.

Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.

Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam tetapi ia karam kira-kira 30 minit kemudian dekat Pulau Kos di Greece.

Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Abdullah Kurdi terselamat.

Menurut bapa Aylan, berkata bot mereka amat sarat menyebabkan ia terbalik dipukul ombak.

Abdullah berkata, kapten bot itu yang panik apabila bot kecil dilanda ombak besar, terjun ke dalam laut.

“Saya mengambil alih mengemudi bot tetapi ombak amat besar dan bot terbalik. Selepas itu saya sedar dua anak dan isteri saya sudah lemas,” katanya kepada AP.

Kesedihan dan kepiluan melihat gambar Aylan tertiarap kaku di pantai mencetuskan perbahasan dalam kalangan pemimpin Eropah yang mendesak tindakan segera diambil bagi mengatasi krisis pelarian, terutama dari Syria.

Namun, selagi perang saudara di Syria masih berterusan, ribuan rakyat negara itu akan terus menggadai nyawa setiap hari cuba ke Eropah melalui Laut Mediterranean menaiki bot nelayan yang usang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 11:20 PM
Skip this ad x