Paris: Berikutan kematian budak lelaki berusia tiga tahun dari Syria yang gambar mayatnya terdampar di pantai Turki menyebabkan Perdana Menteri Perancis Manuel Valls mendesak negara-negara Eropah mengambil langkah segera mengatasi krisis kebanjiran ratusan ribu pelarian di benua itu.

“Dia mempunyai nama. Alyan Kurdi. Tindakan segera diperlukan oleh negara-negara Eropah,” katanya melalui Twitter hari ini.

Gambar mayat Alyan yang terdampar di pantai peranginan Aegean di Bodrum, Turki, tersebar luas melalui media sosial, malah menjadi tajuk utama siaran berita televisyen dan akhbar mencetuskan simpati serta desakan pemimpin Eropah bertindak membantu pelarian.

Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam dalam perjalanan mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.

Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam. Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian bot berkenaan karam dekat Pulau Kos di Greece.

Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Kurdi Abdullah terselamat. Mayat Alyan dihanyutkan ke Pantai Ali Hoca Point di Bodrum dan ditemui hari ini.

Itali, Perancis dan Jerman sudah menandatangani dokumen mendesak peraturan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pemberian sukan politik, dikaji semula.

Canselor Jerman, Angela Merkel, meminta negara dalam EU menerima lebih banyak pelarian.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve, berkata negara itu menjadi pendahulu menguruskan bantuan kepada pelarian dan sudah memperbaharui syarat suaka politik dan menyediakan 8,000 pusat pendaftaran untuk tujuan itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 7:30 PM