Oleh Dang Setia

Saya pelajar universiti awam, kini pengajian pada tahun ketiga. Kekasih bercadang melamar saya tahun ini, sedangkan saya belum bersedia. Kekasih saya sudah stabil dan mendapat tawaran bekerja di luar negara. Dia bercadang menikahi saya sebelum bertugas di luar negara.

Saya tidak pasti rancangannya meminang saya sebelum tamat pengajian akan dipersetujui keluarga. Saya pernah bergurau dengan keluarga, kalau ada orang pinang saya, adakah mereka akan menerima?

Ibu menentang dan saya beranggapan dia mahu saya belajar dan bekerja sebelum bergelar isteri orang. Dang Setia, saya tidak pasti mahu memaklumkan mengenai lamaran kekasih kepada keluarga.

IFA

Kuala Lumpur

Isu di sini ialah, mana satu keutamaan saudari? Adakah saudari mampu menangani atau urus dua tiga komitmen pada satu masa? Bagi Dang Setia, saudari sendiri arif dengan jawapan untuk lamaran kekasih ketika ini iaitu si dia perlu beri masa untuk saudari tamatkan pengajian.

Pada satu sudut lain turut menyokong saudari berpegang dengan pendirian itu, saudari perlu dahulukan hasrat ibu mahukan saudari mempunyai platform sendiri iaitu ijazah serta kerjaya sebelum bergelar isteri orang. Mungkin ibu bimbang, tanpa kedua-dua aspek itu, saudari akan menyesal kemudian hari.

Jika pilihan lain pula, mungkin si dia boleh mengikat saudari menerusi status tunang. Saudari dan dia masing-masing dapat mempelajari cabaran hidup berdua sementara menunggu disatukan. Rasanya saudari dan dia dapat mempelajari cabaran menjalin hubungan jarak jauh.

Andai si dia menyayangi, Dang Setia rasa tindakan saudari menangguhkan perancangan untuk berkahwin itu lebih relevan daripada berkahwin. Jangan cepat melatah serta asuh diri menjadi matang sebelum memikul satu lagi tanggungjawab.

Elak diri berlagak seperti 'keldai memikul kitab' iaitu meskipun tahu akan tanggungjawab namun gagal melaksanakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 2:27 AM