Oleh Aida Adilah Mat
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Ratu skuasy negara Datuk Nicol David akan memulakan cabaran untuk kembali merampas kedudukan selaku pemain nombor satu dunia apabila turun beraksi pada pusingan pertama di Kejohanan Skuasy Terbuka China hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Shanghai China itu bakal menyaksikan Nicol menentang pemain kelayakan dari Perancis, Coline Aumard yang melakarkan kemenangan menewaskan lawan dari England Emily Whitlock 11-7, 11-9, 11-9 pada aksi kelayakan semalam.

Nicol yang diletakkan selaku pilihan pertama itu dijangka tidak berdepan masalah untuk menang dan dia berpeluang untuk kembali merampas takhta selaku pemain pertama dunia selepas menguasainya selama 109 bulan daripada Raneem El Welily jika muncul juara di kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan AS58,000 (RM244,400).

Seorang lagi wakil negara Delia Arnold meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke undian utama selepas melepasi pusingan kelayakan.

Bagaimanapun, kemenangan diperoleh pemain ketiga negara itu tidak mudah apabila Delia terpaksa beraksi empat set sebelum menewaskan lawan dari Wales Tesni Evans 4-11, 11-1, 12-10, 11-3.

“Saya sangat gembira apabila berjaya mara ke undian utama. Kemenangan ini tidak mudah apabila saya tewas di set pertama. Saya bangkit kembali di set kedua apabila mudah menewaskan lawan 11-1.

“Rentak saya terus konsisten apabila berjaya menjarakkan jurang pada set seterusnya dan akhirnya memenangi perlawanan itu,” katanya.

Delia kini menghuni ranking ke-12 dunia berdasarkan senarai terbaru yang dikeluarkan Persatuan Pemain Skuasy Antarabangsa (PSA) kelmarin akan menentang lawan dari Amerika Syarikat Amanda Sobhy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 10:16 AM