Yusri (kiri) dan pengasas jenama Paul Penders, Paul Penders di kios Paul Penders di Arau.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Arau: Sense of Natural Beauty Sdn Bhd (Sense of Natural Beauty) pengeluar dan pengedar jenama produk Paul Penders di Malaysia menyasarkan pembukaan 10 kios atau kedai jualan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini berbanding empat kios sedia ada pada masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusri Harun berkata, pembukaan kios itu terbuka kepada individu berminat untuk menjalankan perniagaan berkaitan kecantikan dan kesihatan dengan pelaburan bergantung kepada saiz dan lokasi.

“Kami menawarkan pilihan pakej tetap bagi individu yang berminat dengan dua pakej berharga RM75,000 dan RM100,000 bersama pulangan margin keuntungan 65 peratus,” katanya pada Bisnes Metro sempena sesi lawatan ke kedai jualan Paul Penders di sini.

Paul Penders adalah produk penjagaan kulit, rambut dan kosmetik berasaskan bahan organik yang sudah berada di pasaran dunia sejak 40 tahun lalu termasuk di Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah, Asia Timur dan Australia.

Beliau berkata, individu yang ingin membuka kedai jualan Paul Penders akan dibantu daripada kempen pemasaran dan promosi bagi membolehkan mereka meraih keuntungan lebih baik dan mampu menjana pendapatan lumayan.

“Kami membantu mereka membuka kedai, memberi bimbingan perniagaan dan sistem penghantaran stok,” katanya sambil menambah syarikat bakal memperkenalkan beberapa produk terbaru termasuk pewangi dan penjagaan kecantikan lelaki dalam tempoh terdekat, sekali gus meningkatkan jumlah produk kepada 54.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 6:17 AM