FRANK Martin diperdaya gadis cantik untuk rompak bank dalam The Transporter: Refueled.
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Seimbas lalu klip video promosi The Transporter: Refueled pasti ada yang menyangka filem itu mengisahkan perlumbaan kereta.

Namun trilogi keempat The Transporter arahan Camille Delamarre itu sebenarnya menceritakan pemandu handal yang menghantar apa saja barang ke mana-mana menggunakan kereta mewah Audi S8 2012 berdasarkan arahan diberikan tanpa bertanya mengenai urusan itu.

Kali ini, watak utama Frank Martin yang sebelum ini dibintangi Jason Statham diambil alih pelakon dan penyanyi rap Inggeris Ed Skrein.

Refueled membawa francais blockbuster The Transporter ke tahap baru yang lebih mengujakan, padat dengan babak aksi memandu lagak ngeri dan mendebarkan serta penggunaan teknologi serba canggih.

Delamarre berkata, trilogi itu turut membawa penonton menyaksikan sisi lain Martin, hubungan dengan bapanya yang juga perisik bersara serta masa silamnya.

“Ia juga termasuk kisah lampau Anna yang dibintangi Loan Chabanol yang dipaksa menjual tubuhnya sejak berusia 12 tahun.

“Refueled lebih daripada ‘reboot’ dan menyajikan plot cerita yang penuh dengan perkembangan baru” katanya.

Menurutnya, berbanding filem aksi lain, The Transporter menampilkan keunikan kerana keengganan Frank menggunakan senjata api ketika berlawan.

“Selain itu, terdapat empat wanita cantik yang sentiasa membuatkan Frank berdepan situasi sukar sepanjang filem itu,” katanya.

Mengenai pemilihan Skrein sebagai watak utama, Delamarre berkata, karakter serta bakat lakonan pelakon itu sebagai Daario Naharis dalam siri televisyen popular Game of Thrones menarik pihak produksi.

“Produksi mahukan pelakon muda berbakat yang boleh membawa babak lagak ngeri dengan baik.

“Walaupun nama Ed (Skrein) kurang popular, sikap dan karakternya membuatkan saya nekad untuk mengambilnya melakonkan watak utama selepas menonton rakaman video uji bakat dengan penerbit Luc Besson,” katanya.

Katanya, Skrein seorang yang bermotivasi dan tenang membuatkan kerja penggambaran bersama pelakon itu berjalan lancar.

Seperti filem The Transporter sebelum ini, Refueled meneruskan kisahnya dengan Frank Martin diupah untuk menghantar bungkusan ke destinasinya.

Bagaimanapun, dia diperdaya gadis cantik bernama Anna untuk melakukan rompakan di sebuah bank.

Berikutan itu, Martin secara tidak sengaja terbabit dalam rancangan untuk menyingkirkan peniaga Rusia, Yuri yang pernah memaksa Anna dalam kegiatan pelacuran 15 tahun lalu.

Tekad untuk membalas dendam, Anna dan dua rakannya kemudian menculik bapa Martin bagi memaksa pemandu itu menurut kehendak mereka.

Keadaan bertambah rumit apabila hubungannya dengan Anna berubah menjadi lebih daripada sekadar rakan perniagaan.

Turut membintangi filem The Transporter: Refueled adalah Ray Stevenson, Gabriella Wright, Tatiana Pajkovic, Wenxia Yu, Noemie Lenoir dan Yuri Kolokolnikov.

Filem The Transporter: Refueled menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 11:24 AM