Oleh Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tersenarai dalam Program Podium mungkin antara kejutan terbesar pernah dirasai pemain perseorangan wanita berusia 15 tahun, Goh Jin Wei selain memenangi beberapa kejohanan peringkat senior.

Jin Wei semalam diumumkan secara rasmi oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen bersama tujuh pemain lain untuk menyertai Program Podium yang berada di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas itu, dia terkejut apabila mengetahui namanya disenaraikan badan induk berkenaan untuk Program Podium.

“Usia saya baru mencecah 15 tahun dan jika hendak difikirkan ramai lagi pemain lain lebih layak terutama pemain senior. Saya hairan dan pelik kerana terpilih,” kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 Singapura itu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia tetap gembira dan berterima kasih kepada BAM kerana mempercayai kemampuannya.

“Ini sudah pasti menjadi motivasi kepada saya untuk beraksi lebih baik dalam kejohanan antarabangsa. Saya akan bekerja keras untuk meningkatkan prestasi terutama dari aspek fizikal memandangkan tubuh badan saya kecil,” kata Jin Wei.

Selain Jin Wei, BAM turut menyenaraikan tujuh lagi pemain, Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Kecuali Jin Wei, semua pemain yang dipilih itu pemain utama negara dalam acara masing-masing.

Jin Wei sekarang ini menduduki tangga ke-322 dunia, jauh ketinggalan di belakang pemain perseorangan wanita negara yang lain seperti Tee Jing Yi (58), Lim Yin Fun (107), Lim Chiew Sien (130 dan Ho Yen Mei (150).

Pemain itu menunjukkan peningkatan cemerlang tahun ini. Selain meraih pingat gangsa Sukan SEA Singapura, dia juga menjuarai Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur dan membawa pulang gangsa dalam Kejohanan Remaja Asia di Bangkok, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:00 AM