Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas menguasai tahta selaku pemain nombor satu dunia selama 109 bulan, akhirnya ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David (gambar) terpaksa melepaskan penguasaannya kepada pemain Mesir Raneem El Welily.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa akur apabila Raneem mengumpul 23,830 mata berbanding 22,825 yang diraih juara dunia itu sekali gus menyebabkan dia terpaksa menyerahkan gelaran pemain pertama dunia kepada musuh tradisinya itu.

Pemain kelahiran Alexandria itu melakarkan sejarah tersendiri apabila menjadi pemain wanita Mesir pertama bergelar pemain nombor satu dunia selepas menyertai sembilan kejohanan sepanjang tahun ini.

“Saya masih keliru dengan perkara ini, maksud saya, saya kini pemain nombor satu dunia. Ya. Saya sangat gembira kerana memang saya sentiasa ingin bergelar pemain nombor satu dunia.

“Tapi saya perlu berwaspada kerana kedudukan ini masih belum selesa dan saya hanya mendahului dengan jurang mata sedikit.

“Jadi saya perlu tingkatkan usaha. Saya beraksi dengan baik untuk separuh musim pertama. Jadi saya sangat teruja untuk melihat apa yang berlaku musim depan,” katanya.

Raneem beraksi cemerlang tahun ini apabila merangkul beberapa kejuaraan utama dengan muncul juara di New York Januari, Terbuka Windy City (Mac) dan Terbuka Alexandria (Jun).

Nicol bagaimanapun mampu merampas kembali ranking itu jika mengungguli Terbuka China yang kini sedang berlangsung di Shanghai. Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow itu diletakkan selaku pilihan pertama manakala Raneem, kedua.

Senarai ranking yang dikeluarkan Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA) turut menyaksikan pemain nombor dua negara Low Wee Wern mengekalkan kedudukan di ranking kesembilan manakala Delia Arnold ke-12.

Sementara itu, dalam saingan kelayakan Terbuka China semalam, Delia melepasi perlawanan pertama pusingan kelayakan apabila menumpaskan wakil tuan rumah, Li Dongjin 11-4, 11-4, 11-1.

Dia akan berdepan satu lagi halangan iaitu bertemu pemain Wales, Tesni Evans hari ini untuk mencari slot ke undian utama.

Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki yang turut beraksi di peringkat kelayakan, Elvinn Keo terkandas apabila tumpas di tangan Greg Lobban dari Scotland, 7-11, 7-11, 5-11.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:31 AM