Raneem El Weleily dari Mesir (kiri) kini menjadi pemain skuasy nombor satu dunia mengatasi Nicol David (kanan). - Foto www.usopensquash.com

Shanghai: Ranking pertama dunia sukan skuasy wanita yang dipegang pemain Malaysia, Nicol David selama sembilan tahun iaitu yang terpanjang dalam dunia sukan, kini dirampas pemain Mesir Raneem El Weleily.

Menurut Persatuan Skuasy Profesional (PSA) yang mengemaskini ranking, Raneem, 26, akan memulakan cabaran musimnya di Terbuka China Khamis ini, muncul wanita pertama Mesir bergelar pemain nombor satu dunia dalam sebarang sukan.

"Saya gembira menjadi pemain nombor satu dunia baru. Nicol menjadi pemain nombor satu dunia untuk tempoh yang lama.

“Jurangnya dengan saya semua agak lebar dan dapat merapatkan kedudukan dengan adalah satu pencapaian besar.

“Menjadi pemain yang mengambil alih tempatnya memberi makna besar buat saya." kata Raneem, Pemain Terbaik PSA 2015 dalam satu kenyataan.

Raneem berada di tangga kedua sejak lapan bulan lalu selepas memenangi beberapa kejohanan besar, termasuk Terbuka Iskandariah, Jun lalu.

Dia mendahului Nicol hanya dengan 125.625 mata dan berikutan Nicol juga akan bertanding di China, Raneem sedar gelarannya sebagai pemain nombor satu mungkin singkat. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 9:25 PM