2 belia bekas pesakit barah kuat tempuh dugaan.

Masa muda sememangnya waktu yang menyeronokkan dengan tenaga muda yang ada dan banyak waktu terluang. Namun, bukan semua anak muda berpeluang mengharungi zaman muda yang senang dan ceria, apatah lagi dugaan besar seperti penyakit barah datang menguji tubuh serta jiwa muda.

Gadis bernama Amylia Mustapha, 26, atau senang dipanggil Amy berasal dari Serian, Sarawak amat faham kesusahan akibat disapa penyakit barah ketika usia masih muda.

Ketika berusia 19 tahun, Amy terasa sesuatu yang menyakitkan pada bahagian bawah perutnya. Seperti ada ketulan yang menghimpit di dalam bahagian abdominalnya membuatkannya berasa tidak selesa apabila duduk.

Bingung dan inginkan jawapan, Amy yang ketika itu berusia 19 tahun pergi ke hospital atas nasihat ibunya untuk mendapatkan pemeriksaan.

“Doktor mendapati ada ketumbuhan sebesar penumbuk orang dewasa dalam rahim saya dan mendiagnosis ia sebagai ketumbuhan fibroids yang bukan bersifat kanser.

“Namun walau mengambil ubat diberikan, ketumbuhan itu tidak mengecil malah semakin menyakitkan.

“Saya menjalani pemeriksaan sekali lagi dan doktor mendapati sebenarnya ada dua ketumbuhan yang semakin membesar.

“Setelah pemeriksaan demi pemeriksaan, barulah doktor memastikan ia adalah kanser endometrial atau barah rahim tahap 2,” katanya.

Ketika diberitahu, Amy bagaikan tidak percaya yang dia boleh terkena barah dan berasakan dunianya begitu gelap.

“Ketika itu apa yang saya fikirkan apabila tahu menghidap kanser hanyalah kehidupan sudah berakhir.

“Apa tidaknya penyakit ini sering dikaitkan dengan kematian dan pada ketika itu saya tidak arif mengenainya,”katanya.

Namun, Amy sedar dirinya perlu kuat walau masa mudanya disapa dugaan yang belum tentu boleh diatasi semua orang lebih dewasa daripadanya ketika itu.

“Saya menangis sehingga pada suatu tahap tidak mahu lagi hanya merintih nasib diri.

“Saya memberitahu diri sendiri perlu kuat kerana rakan dan keluarga memberi dorongan tidak berbelah bahagi.

“Saya terpaksa menghentikan sementara pengajian di Kolej PTPL, Shah Alam ketika tahun kedua selama setahun dan menjalani rawatan demi rawatan yang menyakitkan, namun perlu dilalui.

“Tipulah jika saya tidak pernah hampir berputus asa, ia sememangnya banyak bermain dalam fikiran saya, namun tidak mahu terlalu mengikut perasaan.

“Kehidupan seakan-akan terhent,i namun saya perlu terus berfikiran positif, itulah pegangan saya dalam melalui dugaan ini,” katanya.

Pada tahun 2012 dia disahkan bebas daripada kanser setelah menjalani rawatan radioterapi sebanyak 28 kali dan kemoterapi tiga kali. Kini Amylia menjadi eksekutif pentadbiran di Majlis Kanser Nasional (MAKNA), di Kuala Lumpur.

Amy turut bergiat aktif sebagai sukarelawan dalam aktiviti amal anjuran MAKNA dengan berkongsi pengalaman dan kata semangat untuk individu lain yang berjuang melawan barah.

Seorang lagi bekas pesakit kanser muda, Harikrishnan Maniam, 26, menganggap ujian dilaluinya sebagai pesakit kanser satu pengalaman yang membuka mata dan menjadikan dirinya sebagai individu lebih peka terhadap nilai kehidupan.

Mengimbas pengalaman sebagai pesakit kanser, anak muda berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor yang senang dipanggil Hari itu mengatakan dia mula didiagnosis menghidap kanser limfoma pada hujung tahun 2013.

“Ketika itu saya menjalani latihan industri untuk menghabiskan ijazah. Bayangkan ketika itu saya tidak sabar untuk menggenggam segulung ijazah, namun disapa dengan dugaan mencabar ini.

“Ia bermula apabila ada darah keluar dari mulut apabila saya batuk, tidak ada selera makan dan ia berterusan malah semakin teruk.

“Saya tidak senang duduk dan membuat kajian sendiri mengenai simptom yang saya alami.

“Jadi saya membuat satu senarai penyakit yang mungkin saya alami. Satu demi satu penyakit dipotong dari senarai itu selepas diperiksa doktor.

“Akhirnya tiba ke penyakit terakhir dalam senarai saya iaitu kanser dan selepas menjalani pemeriksaan menyeluruh, doktor mengesahkan saya menghidap kanser limfoma tahap empat.

“Saya menjadi tidak terkejut kerana sudah menjang­kakannya dan berazam untuk menjalani rawatan dengan betul dan berdisiplin.

“Keluarga saya turut bersedih, namun saya kuatkan semangat mereka kerana ia juga akan menguatkan semangat saya.

“Sambil menjalani rawatan, saya mengajak mereka pergi ke seminar dan program berkaitan pesakit kanser untuk sama-sama belajar cara mengharunginya,” kata Hari.

Kini anak muda yang petah bercakap ini sudah disahkan sembuh, namun tetap beringat dan menjaga kesihatan diri.

“Saya bekerja setelah sembuh dan dibenarkan doktor, namun kesan kemoterapi dan penyakit itu sendiri berat badan pula turun mendadak daripada 66 kilogram (kg) kepada 47kg, membuatkan prestasi saya tidak menentu di tempat kerja.

“Ada masanya saya tiba-tiba terlalu rasa kepenatan dan tidak boleh fokus kepada kerja dengan baik, lalu saya memutuskan untuk berhenti kerana ia tidak adil untuk majikan jika saya tidak bekerja sebaik-baiknya.

“Atas nasihat doktor, saya menjalani satu fasa merehatkan diri untuk pulih sepenuhnya dan saya mengambil peluang ini untuk bermeditasi serta mengatur langkah hidup saya.

Hari juga aktif menjadi sukarelawan melalui MAKNA dan melibatkan diri dalam program yang diadakan badan itu.

“Individu muda atau sesiapa sahaja yang mengalami nasib sama ketika ini itdak harus mengalah dan anggaplah ia sebagai satu proses pembelajaran untuk kita mengenali lebih lagi mengenai kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 11:37 AM