MOHD Paiz (kanan) melawat tapak penanaman teratai
MOHD Ghazali menunjukkan pokok teratai yang ditanam dalam pasu.
PESERTA membuang pasu yang digunakan untuk menanam teratai.
SEORANG peserta bengkel membuang akar teratai.
BUNGA teratai yang kembang.
BIJI teratai.
TERATAI kembang.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Projek pemuliharaan sumber biodiversiti tumbuhan darat dan akuatik di lembangan Tasik Chini, Pekan, Pahang giat dijalankan sebagai warisan alam dan rizab biosfera negara bagi menggalakkan perkembangan industri ekopelancongan serta pertumbuhan ekonomi.

Justeru, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berganding bahu memba­ngunkan kawasan itu.

Lembangan Tasik Chini menerima bekalan air daripada empat batang sungai iaitu Sungai Datang, Sungai Gumum, Sungai Perupok dan Sungai Melai. Aliran Sungai Chini sepanjang 4.8 kilometer turut bersambung dengan Tasik Chini dan Sungai Pahang.

Ketua Program Geoinformasi FRIM Dr Abdul Rahman Kassim berkata, Tasik Chini adalah habitat kepada pelbagai tumbuhan akuatik dan ikan selain sumber bekalan air dan sumber rezeki penduduk setempat.

Beliau berkata, Tasik Chini disenaraikan Tapak Rizab Biosfera di bawah program Manusia dan Biosfera (MAB) di bawah inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pertama yang diwartakan pada tahun 2009 di Malaysia.

“Keunikan tasik dalam alam semula jadi Sungai Chini terletak pada ekosistemnya yang terdiri daripada paya air tawar, hutan paya air tawar, hutan tebing sungai (riparian) dan hutan dipterokarpa tanah pamah serta bukit.

“Kewujudan hutan tebing sungai atau hutan ‘levee’ di pertengahan dan hilir Sungai Chini dengan dibarisi pelbagai spesies pokok tinggi dan matang seperti pokok ara, cempedak air, mempari su­ngai dan pelbagai spesies lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Penyediaan Stok Tanaman Untuk Penanaman Tumbuhan Darat dan Akuatik di Lembangan Tasik Chini, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman. Hadir sama, Pegawai Penyelidik Kanan (Unit Sivilkultur Hutan Darat) FRIM Dr Raja Barizan Raja Sulaiman dan Pegawai Penyelidik (Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar) FRIM Mohd Ghazali Hasan.

Abdul Rahman berkata, usaha perlu dijalankan untuk menghutankan semula kawasan itu melalui pendekatan saintifik.

“Di samping tekanan pembangunan tanah, kawasan tasik akan mengalami banjir yang melimpah dari Sungai Pahang malah sebahagian besar tebing Sungai Chini dan Tasik Chini akan tenggelam pada akhir tahun.

“Tumbuhan akuatik seperti teratai akan turut terancam akibat terlalu lama terendam dalam air akibat banjir besar. Tumbuhan teratai adalah ikon dan daya tarikan utama di Tasik Chini turut hampir pupus dan memerlukan masa yang lama untuk kembali dominan di tepi tebing tasik.

“Untuk menggalak pertumbuhan teratai, projek ini membangunkan kaedah yang sesuai untuk penyediaan stok tanaman dan penanaman teratai secara efektif.

“Teratai yang ditanam semula mengambil masa lebih singkat untuk berbunga kerana ia menggunakan kaedah mengambil pokok teratai sedia ada di kawasan lain yang dibawa ke tapak semaian sebelum dipindahkan ke tasik ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang dirumuskan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), bagi menangani isu pemuliharaan lembangan Tasik Chini.

“FRIM bertanggungjawab untuk memastikan sektor perhutanan akan mempunyai sumber yang berkekalan dan terus memberi sumbangan terhadap pendapatan serta sosioekonomi negara.

“Kami dengan kerjasama JPSM dan JPNP menjalankan beberapa projek pemuliharaan sumber biodiversiti di lembangan Tasik Chini seperti pemulihan kawasan terosot membabitkan pengkelasan kawasan terosot, survei tanah, penanaman pokok hutan, buah-buahan nadir dan penanaman buluh.

“Selain itu, kita membuat penyenaraian spesies riparian dan akuatik, penyediaan buku rujukan tumbuhan, pengenalan semula spesies terancam dan penanaman semula teratai,” katanya.

Sementara itu, Mohd Paiz berkata, bengkel ini adalah platform menerapkan modal insan serta mengetengahkan garis panduan lengkap kemahiran dalam teknik asas penyediaan stok bahan penanaman pokok darat dan akuatik.

“Penanaman semula teratai spesies nelumbo nucifera di tasik berkenaan penting kerana tumbuhan itu juga berfungsi sebagai penapis semula jadi yang membersihkan kualiti air tasik.

“JPNP sangat komited dalam pelaksanaan pembelajaran dan pembangunan hutan di Tasik Chini ini.

“Aktiviti yang dijalankan jabatan ini dengan membangunkan denai interpretasi, menyelenggara petak arboretum selain program penanaman di Tasik Chini,” katanya.

Seramai 70 peserta terdiri daripada kakitangan JPNP dan orang awam menyertai bengkel tiga hari itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:20 AM