AHMAD Suhaimy mengusahakan tanaman durian belanda.
BUAH durian belanda mencapai tahap matang antara dua hinga tiga tahun.
AHMAD Suhaimy dan Suhaili menunjukkan produk berasaskan durian belanda.
Oleh Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my

Walaupun tanpa pengalaman, Ahmad Suhaimy Suli boleh berbangga kerana usahanya bergelar usahawan tani menjadi kenyataan apabila produk berasaskan durian belanda yang dikeluarkannya sudah memasuki pasaran luar negara.

Berusia 37 tahun, dia tidak menyangka usahanya memulih pokok durian belanda terbiar di kampung kelahirannya, Kampus Mampas Kecil Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menjadi pencetus sehingga bergelar pengeluar utama teh durian belanda di negara ini.

Dia memulakan usaha menanam dan mengeluarkan produk berasaskan durian belanda pada 2006 dengan mengusahakan ladang tanaman pokok secara kecil-kecilan di kampung berkenaan.

“Saya memilih tanaman durian belanda kerana pokok dan buah begitu banyak dan sesuai ditanam di kawasan kampung.

“Malah, pokok ini banyak khasiatnya dari segi kesihatan, justeru saya cuba mengkormersialkannya kerana beberapa negara mengiktiraf produk berasaskan durian belanda,” katanya yang mengeluarkan modal asas RM200,000 menerusi syarikat Annona Enterprise.

Katanya, durian belanda boleh mengeluarkan hasil antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada tahap pembesarannya.

Ahmad Suhaimy berkata, bagi memastikan tempoh panjang itu dapat digunakan dengan baik, dia menjual anak benih durian belanda kerana percaya ramai juga pengusaha lain yang berminat untuk mendapatkan benih berkualiti.

Menurutnya, daun pokok itu digunakan bagi membuat teh durian belanda selepas mendapat kerjasama Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan bahan itu diproses di Melaka sejak 2012.

Beliau yang dibantu isterinya, Suhaili Mohd Sidek, 39, terus bergerak dan memajukan lagi industri durian belanda selepas mendapat sambutan menggalakkan.

“Pada peringkat awal, banyak cabaran terutama aktiviti pemasaran tapi sejak menggunakan perniagaan online, sambutan dari beberapa negara seperti Oman, Brunei, Rusia, China dan Singapura amat menggalakkan.

“Bagaimanapun, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan banyak membantu terutama dalam memasarkan produk ini di pasar tani, karnival usahawan dan pameran bersaiz besar seperti Pameran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA),” katanya.

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan yang meningkat, dia membuka tiga lagi kawasan tanaman pokok durian belanda di Kampung Ulu Mampas, Kampung Mampas Besar dan Senaling di Kuala Pilah.

Bapa kepada dua anak berusia empat dan sembilan tahun itu berkata, selain teh durian belanda, dia mempelbagaikan produk dengan mengeluarkan kopi durian belanda, kapsul, stemcell dan isi durian belanda.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 10,000 kotak produk durian belanda dipasarkan setiap bulan manakala 400 kilogram (kg) buah durian belanda pula dipasarkan ke Singapura sebulan, menerusi kerjasama FAMA.

Katanya, ketika ini harga pasaran buah durian belanda ialah RM13 hingga RM15 sekilogram namun difahamkan Singapura menjualnya sehingga lebih RM40 sekilogram.

“Alhamdulillah, banyak permintaan diterima termasuk dari Sabah dan Sarawak. Saya turut melantik beberapa stokis, pengedar dan agen pemasaran di beberapa lokasi seluruh negara,” katanya.

Usahawan muda lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, pihaknya sudah merancang untuk membesarkan lagi industri itu dan berusaha membuka kilang memproses di Kampung Ulu Mampas, Kuala Pilah.

“Saya mendapat bantuan geran RM140,000 daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang dijangka dapat direalisasikan akhir tahun ini.

“Wawasan saya adalah untuk menjadi pengeluar terulung berasaskan durian belanda di negara ini pada masa depan dan berharap ia dapat direalisasikan,” katanya.

Dia juga pernah berdepan detik pahit kerana ditipu pelanggan hingga kerugian lebih RM30,000 pada peringkat awal perniagaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:17 AM