TIADA keseimbangan kerja, kehidupan punca utama kadar penembusan tenaga kerja wanita rendah.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majikan di negara ini dilihat menghadapi kehilangan bakat kritikal terutama dalam aspek tenaga kerja wanita dan ia terbukti apabila kadar penembusan tenaga kerja wanita Malaysia adalah rendah iaitu pada tahap 56 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Johan Mahmood Merican berkata, kadar itu lebih rendah jika dibandingkan dengan negara lain dalam rantau ini iaitu melebihi 60 peratus dengan hanya separuh daripada bilangan nisbah setiap 100 wanita di negara ini berkerja.

“Faktor utama menyumbang kepada situasi ini majikan tidak menawarkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan di mana hanya satu pertiga daripada syarikat di Malaysia menawarkan fleksibiliti dalam jadual pekerja masing-masing dengan kebanyakan wanita perlu meninggalkan dunia pekerjaan lebih awal disebabkan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya pada sidang media bersempena pengumuman Laporan Teknologi Dunia Hubungan Cisco 2015 bagi Malaysia di sini, baru-baru ini.

Laporan terbabit menunjukkan 65 peratus daripada pekerja Generasi X Malaysia dan 61 peratus Generasi Y tidak percaya kepada jadual kerja tradisional dan lebih cenderung untuk bekerja dari mana-mana lokasi pada bila-bila masa.

Beliau berkata, masih terdapat banyak ruang untuk wanita yang berhasrat kembali bekerja meskipun sebahagian daripada nisbah tenaga kerja wanita berkurangan, namun mereka menghadapi masalah untuk menyeragamkan jadual kerja kerana bertindih antara satu sama lain.

“Syarikat boleh pertimbangkan kemungkinan untuk menggunakan tenaga kerja wanita berasaskan kepada projek atau secara sambilan bagi membantu mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai laporan Cisco, Johan berkata, perniagaan perlu bertindak balas dan bersedia dengan trend tempat bekerja yang sentiasa berubah-ubah serta permintaan untuk mengekalkan sebahagian besar daripada bakat tenaga kerja wanita di negara ini.

“Kami sentiasa berkerjasama dengan majikan seluruh negara untuk membangunkan dan melaksanakan inisiatif tempat kerja ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 6:19 AM