Kuala Lumpur: Kos membina terowong dan kerja bawah tanah bagi Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) Jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Jajaran SSP) mungkin meningkat antara 30 dan 50 peratus berbanding MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang (Jajaran Satu) kerana ia membabitkan bahagian lebih luas serta jumlah kerja lebih besar.

Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT (MGKT), Satpal S Bhogal berkata, penjajaran terowong yang lebih panjang serta bilangan stesen adalah antara faktor yang menyebabkan kos lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kos sekilometer adalah sama dengan Jajaran Satu,” katanya di sini, baru-baru ini.

MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd yang dilantik sebagai rakan kongsi penyerahan projek (PDP) juga dijangka membida pakej kerja-kerja bawah tanah bagi Jajaran SSP.

“MRT Corp Sdn Bhd telah mengumumkan yang ia yakin dengan projek yang dirancang ini berikutan respons positif orang awam dan jika semua urusan berjalan mengikut rancangan, ia akan mengadakan pembidaan kompetitif antarabangsa dalam baki tahun ini dan mungkin awal tahun atau pertengahan tahun depan mereka anugerahkan kontrak,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 6:12 AM